KERAJAAN memperluaskan Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) tahun ini dengan memberi manfaat kepada 90,000 belia dan pelajar sekolah di seluruh negara menerusi peruntukan keseluruhan RM29 juta.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, inisiatif yang dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan memastikan lebih ramai golongan muda memiliki lesen memandu motosikal yang sah, selamat dan berstruktur.
Menurut kementerian, program berkenaan merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi membantu golongan belia serta pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu tanpa dibebani kos latihan dan ujian.
“Kerajaan komited memastikan tiada rakyat tercicir daripada sistem pelesenan memandu negara akibat kekangan kewangan, selain meningkatkan tahap keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” menurut kementerian dalam kenyataan hari ini.
Bagi 2026, Program MyLesen B2 diperluaskan kepada 30,000 peserta dengan peruntukan RM10.5 juta, manakala Program MyB2S melibatkan sehingga 60,000 pelajar sekolah menerusi peruntukan RM18.5 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Di Johor, seramai 8,000 peserta menerima manfaat daripada kedua-dua program itu membabitkan peruntukan RM2.4 juta.
Majlis yang berlangsung di Yong Peng hari ini turut menyaksikan penyerahan Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada peserta Program MyLesen B2 yang berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian kompeten memandu.
Pada masa sama, peserta Program MyB2S menerima Lesen Belajar Memandu (LDL) sebagai persediaan untuk menjalani latihan amali sebelum menduduki ujian memandu motosikal.
Kementerian memberitahu, pelaksanaan program tersebut penting memandangkan lebih 60 peratus kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoriti mangsa berusia bawah 30 tahun.
Jelas kementerian, kerajaan melihat pendidikan awal, latihan berstruktur dan pemilikan lesen memandu yang sah sebagai langkah penting bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kehilangan nyawa dalam kalangan pengguna motosikal.
Menurut kementerian, sinergi antara kementerian, JPJ, KPM dan rakan pelaksana akan terus diperkukuhkan bagi memastikan program itu memberi impak lebih besar dalam melahirkan ekosistem jalan raya yang selamat, inklusif dan mampan untuk rakyat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

