JIKA kebiasaannya sambutan Hari Bapa diwarnai dengan lambakan karya seni yang meraikan pengorbanan, nostalgia manis serta kasih sayang seorang ketua keluarga, penyanyi dan pencipta lagu, Luqman Podolski mengambil langkah berani dengan memecah tradisi tersebut.
Menerusi naskhah terbaharunya yang berjudul Ayah, Luqman memilih untuk menyingkap realiti kepahitan hidup yang jarang sekali diangkat ke arus perdana.
Lagu yang mendapat sentuhan emas komposer berbakat, Kim Manul serta diterbitkan di bawah bumbung syarikat rakaman Sony Music Malaysia ini, ternyata lari daripada stigma tipikal.
Ayah membawakan pendekatan yang lebih berani, telus, dan agak menyentap emosi dengan memfokuskan kepada sisi gelap institusi kekeluargaan.
Secara khususnya, naskhah ini menyelami kelukaan, trauma, dan impak psikologi terhadap anak-anak yang terpaksa membesar tanpa peranan sebenar seorang bapa yang culas dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai inspirasi di sebalik penghasilan karya berat ini, Luqman menyifatkan Ayah sebagai sebuah cerminan realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, namun sering ditutup rapat kerana dianggap sebagai isu yang terlalu sensitif atau tabu untuk dibicarakan secara terbuka.
Berkongsi luahan rasanya, penyanyi ini menjelaskan, kita harus sedar dan terima hakikat bahawa bukan semua anak di luar sana bertuah dapat merasai momen indah bersama bapa mereka.
“Ramai sebenarnya yang terpaksa menelan kepahitan, membesar dengan parut emosi serta dibelenggu memori duka yang membebankan jiwa.
“Jujurnya, karya ini dihasilkan jauh sekali dengan niat untuk menuding jari atau mengaibkan mana-mana pihak.
“Apa yang saya mahukan hanyalah untuk memberi ruang serta platform kepada mereka yang pernah melalui fasa gelap ini agar mereka tahu bahawa keluhan hati mereka didengari dan difahami,” katanya.
Dari sudut pandang seni, keberanian yang ditonjolkan oleh Luqman ini membuktikan kematangannya sebagai seorang anak seni.
Muzik kini bukan sekadar halwa telinga untuk hiburan kosong atau medium untuk memaparkan mesej-mesej positif semata-mata.
Sebaliknya, kanvas seni telah berevolusi menjadi platform paling ampuh untuk merakamkan sisi realiti kehidupan yang sebenar, termasuklah konflik dalaman, krisis kekeluargaan, dan keperitan yang akhirnya membentuk karakter seorang manusia.
Penceritaan yang begitu telus sebegini hakikatnya bukanlah suatu perkara yang asing di persada muzik antarabangsa.
Rata-rata bintang besar global, terutamanya yang memperjuangkan arena muzik hip hop dan rap, sudah lama menjadikan lirik dan melodi sebagai senjata untuk meluahkan protes, berkongsi trauma peribadi, serta mengupas isu-isu sosial masyarakat yang kritikal.
Luqman kini membawa gelombang ‘kejujuran’ yang sama ke dalam industri muzik tanah air.
Kehadiran single Ayah ini bukan sahaja memperkukuhkan profil seni Luqman, malah ia berjaya membuka pintu perbincangan tentang kelompongan institusi kekeluargaan yang selama ini membarah dalam diam.
Naskhah ini adalah bukti kukuh bahawa muzik memiliki kuasa penyembuhan dan mampu menjadi suara keramat buat golongan yang sering tersisih.
Bagi para peminat dan pendengar yang ingin menyelami sendiri emosi serta mesej mendalam yang dibawakan, single Ayah kini sudah mula bergentayangan dan boleh distrim di semua platform penstriman digital utama seluruh negara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

