BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari ini, dua gergasi platform penstriman video terkemuka, Viu dan iQIYI International, secara rasminya memeterai kerjasama untuk melancarkan satu pakej langganan tunggal (kombo) yang pastinya memberi nilai berbaloi buat para penonton.
Bakal menemui pasaran pada separuh kedua tahun 2026, inisiatif berskala mega ini disasarkan khusus untuk pasaran di empat buah negara utama Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Filipina.
Menerusi langkah strategik ini, pelanggan tidak lagi perlu berbelanja lebih untuk melanggan perkhidmatan secara berasingan.
Sebaliknya, hanya dengan satu pelan langganan berpadu, mereka bakal menikmati akses premium kepada dua pangkalan data hiburan paling komprehensif di Asia.
Kolaborasi bersejarah ini disifatkan sebagai satu ‘durian runtuh’ kerana ia menyatukan dua kekuatan platform yang saling melengkapi.
Viu selama ini dikenali dengan kehebatannya membawakan siri Viu Originals bertaraf antarabangsa, deretan drama Korea (K-Drama) popular, serta naskhah tempatan yang dekat di hati penonton.
Manakala iQIYI International pula gah dengan tawaran siri premium dari China (C-Drama), rancangan realiti fenomena, serta seleksi tayangan anime.
Bagi pelanggan yang melayari Viu, mereka akan dihidangkan dengan judul-judul besar seperti The Season dan siri realiti memukau seperti Guardian: The Lonely & Great God 10th Anniversary.
Platform ini juga bakal meledak dengan drama-drama Korea terbaharu seperti Love In Sync dan Dream To You, di samping siri mikro pantas seperti When Fish Swim to Land dan I Became the Fake Heiress.
Sementara itu, beralih ke platform iQIYI, kemeriahan diteruskan dengan deretan C-Drama premium antarabangsa seperti Pursuit of Jade dan Speed and Love.
Lebih mengujakan, iQIYI turut membariskan naskhah serantau berprofil tinggi, termasuklah siri tempatan Griya dari Malaysia, naskhah Khemjira (Thailand), dan The Other Sister (Indonesia).
Tidak ketinggalan, peminat juga boleh bergelak ketawa dengan gelagat bintang Running Man Thailand.
Menyedari impak besar penggabungan pangkalan peminat ini, Ketua Pegawai Eksekutif Viu merangkap Pengarah Urusan PCCW Media Group, Janice Lee, menyifatkan langkah berani ini sebagai bukti komitmen teguh platform tersebut dalam mendaulatkan dan merayakan karya-karya Asia.
“Nadi utama perkhidmatan kami sentiasa berteraskan kepada karya dan naskhah Asia yang sememangnya menjadi denyut nadi penonton kami.
“Usaha sama dengan iQIYI ini direalisasikan tepat pada masanya bagi mengangkat hiburan serantau ke tahap optimum.
“Dengan penyatuan dua pustaka kandungan gergasi ini di bawah satu pelan yang mesra pengguna, kami mahu memastikan peminat di Malaysia dan negara jiran mendapat akses yang lebih mendalam terhadap penceritaan paling berkualiti.
“Kami percaya, hiburan yang hebat sepatutnya mudah dicapai oleh semua, dan pakej kombo ini adalah jawapan muktamadnya,” katanya.
Sentimen keterujaan yang sama turut dikongsikan oleh Presiden iQIYI, Yang Xianghua. Dia optimis bahawa inisiatif pakej bersepadu ini adalah satu anjakan paradigma dalam landskap hiburan Asia Tenggara yang secara langsung memberi kelebihan besar kepada para penonton.
“Selepas bertahun-tahun membina reputasi dan menawan hati penonton di Asia Tenggara menerusi lambakan siri premium berbahasa Cina serta karya asli tempatan, perkongsian pintar bersama Viu ini jelas memahat satu lagi sejarah penting buat perniagaan luar negara iQIYI.
“Kami sebenarnya melengkapkan kehendak penonton dengan menggabungkan keistimewaan kedua-dua platform ini.
“Misi kami amat jelas, iaitu untuk terus mencipta nilai jangka panjang yang berbaloi bukan sahaja untuk pengguna, malah buat rakan kolaborasi serta kelestarian ekosistem seni hiburan di Asia secara keseluruhannya,” jelasnya.
Pakej langganan baharu ini akan ditawarkan secara terus menerusi laman web rasmi Viu dan iQIYI International menjelang pelancarannya kelak.
Para pengguna kelak boleh menikmati kandungan eksklusif pada kedua-dua perkhidmatan tersebut secara berasingan menggunakan pelan yang sama, tertakluk kepada ciri teknikal dan keserasian peranti masing-masing.
Struktur harga dan butiran teknikal lanjut bakal diumumkan oleh pihak pengurusan dalam masa beberapa bulan lagi.

