“KALAU perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh.”
Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas hakim menangguhkan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya kepada 13 Julai nanti.
Dalam sidang media di perkarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya, Syed Saddiq menyifatkan beliau amat menghormati keputusan yang telah dilaksanakan hakim.
Bagaimanapun, beliau mengakui agak sukar untuk memberikan ulasan atau komen kerana perkara itu disifatkan sebagai luar jangkaan.
“Saya hormat institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya yang ingin mendapatkan keadilan bulan melalui jalan pintas atau layanan istimewa tetapi melalui perbicaraan berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri.
“Ini bukan perkara yang kita boleh rancang dan bukan sesuatu yang berada dalam buku.
“Cuma bagi diri saya secara peribadi, kes ini bukanlah kes yang baru.
“Sudah enam tahun saya berentap untuk mendapatkan keadilan, untuk membersihkan nama saya, integriti saya dan maruah saya,” katanya.
Terdahulu, keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq berhubung empat pertuduhan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram ditangguhkan pada 13 Julai nanti.
Situasi tidak dijangka itu berlaku selepas seorang daripada panel tiga hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak sihat.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang juga merupakan seorang daripada panel tiga hakim memberitahu, Che Mohd Ruzima cuti sakit selama dua hari sehingga esok.
Abu Bakar memaklumkan perkara itu di awal prosiding pada pukul 9.30 pagi tadi.
Menurut Abu Bakar, beliau dan Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir ke Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Namun, Yang Arif Ruzima tidak bersama kami kerana kami diberitahu beliau tidak sihat dan bercuti rehat pada hari ini dan esok.
“Memandangkan keadaan sedemikian, kami tidak dapat memberi keputusan hari ini kerana tidak betul rasanya (menyampaikan keputusan) tanpa kehadiran seorang panel hakim,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara akan diketahui hari ini.
Sayed Saddiq berdepan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Rayuan itu didengar selama dua hari dan pihak-pihak selesai berhujah di hadapan tiga panel berkenaan pada 12 Disember 2025.
Prosiding rayuan menyaksikan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Semasa rayuan akhir pendakwaan pada 12 Dis, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.
Beliau yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Peguam Negara telah mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

