KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbang tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya terhadap tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam (UA).
Menurut KPT, pihaknya memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang oleh ahli politik berkenaan termasuk dakwaan kononnya UA pada masa ini sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.
Ia jelasnya, termasuk dakwaan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui ‘pintu belakang’.
“Terkini ialah rakaman video ucapan beliau yang disiarkan melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ yang berlangsung pada 13 Jun 2026.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk UA, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” jelasnya.
KPT menambah, perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman terhadap kementerian.
Jelasnya, kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.
Namun katanya, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.
“KPT meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.
“KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” jelasnya.

