“Eh! Yang mana satu betul ni. Itu hari dalam satu ceramah ada ustaz cakap Bahasa Arab ni bahasa syurga. Kita kena belajar dari sekarang. Kalau tak pandai cakap arab susahlah nanti di syurga. La ni, ada pula yang kata Bahasa Arab bukan bahasa syurga. Ermm… pening juga dibuatnya.”
Benar! Dalam sebuah hadis ada disebutkan “Aku orang Arab, al-Quran di dalam Bahasa Arab dan lidah (Bahasa) ahli syurga adalah Arab”
Manakala riwayat lain menyebutkan, “Aku mencintai Arab kerana 3 perkara. Kerana aku adalah Arab, al-Quran di dalam Bahasa Arab dan ucapan ahli syurga adalah bahasa Arab”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath dari sahabat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Abu Hurairah r.a.
Walaubagaimanapun, kedudukan hadis ini dinilai sebagai hadis maudu’ iaitu bertaraf hadis palsu atau mungkar oleh sebahagian besar ulama hadis, antaranya Imam al-Uqailiy, Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Zahabi dan imam-imam yang lain kerana mempunyai masalah dari sudut matan dan perawinya, begitu jawapan dari Hakim Zainal, pensyarah Pusat Kajian Arab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tambahan pula, tidak terdapat hadis yang sahih bagi menyatakan bahasa pertuturan yang akan digunakan oleh ahli syurga. Hanya pendapat yang mengatakan Bahasa Arab bahasa syurga adalah generasi selepas daripada Baginda s.a.w.
Jika kita bersandarkan bahasa Arab sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas, sudah pasti menjadi kesulitan dan tidak adil bagi bangsa lain yang tidak boleh berbahasa Arab seperti kita orang Melayu.
Kelebihan bahasa Arab
Hanya apa yang boleh disebutkan di sini, banyak kelebihan sekiranya kita dapat menguasai bahasa Arab antaranya sudah pasti kita memahami al-Quran dengan lebih baik dan mendalam ketika membacanya. Begitu juga dengan bacaan solat. Secara tidak langsung menambahkan lagi kekhusyukkan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.
Selain itu, beza antara bahasa Arab dengan bahasa lain ialah bahasa Arab mempunyai pengungkapan kata yang sangat terperinci dan paling tepat, serta mempunyai perbendaharaan kata yang sangat banyak, contohnya buah kurma. Jika dalam Bahasa Melayu, apa juga jenis kurma, tidak kiralah besar atau kecil, apa juga warna, tetap kita akan sebut kurma. Akan tetapi untuk Bahasa Arab, ia akan menggunakan perkataan lain yang merujuk kepada kurma yang berbeza. Daripada putik kurma, hinggalah kepada kurma yang dipetik dan dimakan, ia mempunyai nama-nama tertentu.
Begitu juga dengan perkataan “jalasa” atau “qaada” yang bermaksud duduk. Penggunaan istilah “jalasa” bermaksud duduk daripada berbaring, manakala istilah “qaada” ialah duduk daripada berdiri. Penggunaan istilah ini secara tidak langsung memberi maksud yang tepat bagi sesuatu keadaan.