Februari 1948, perairan di Selat Melaka tampak tenang. Namun, ketenangan itu dipecahkan oleh satu isyarat SOS yang datang secara tiba-tiba. Ia adalah isyarat kecemasan yang dikirim dari sebuah kapal kargo, SS Ourang Medan.

Kapal City of Baltimore dan Silver Star dari Amerika Syarikat yang melalui Selat Melaka menerima isyarat tersebut. Sayup-sayup di hujung radio, kedengaran satu suara panik yang membuatkan sesiapa mendengarnya terdiam seketika.

Di antara dua buah kapal dagang itu, hanya Silver Star yang berjaya menentukan arah koordinat SS Ourang Medan dengan tepat. Kapten Silver Star segera memerintahkan anak-anak kapalnya untuk bergerak menuju ke lokasi SS Ourang Medan.

Belum sempat tiba ke lokasi kejadian, Silver Star menerima satu lagi pesanan Morse yang diikuti dengan suara teriakan di hujung radio, sebelum suasana bertukar menjadi hening. Yang kedengaran hanyalah bunyi gemeresik radio yang tidak teratur. Berdasarkan isyarat itu, kru Silver Star mengagak suatu tragedi telah menimpa kapal SS Ourang Medan.

Dalam masa hampir dua jam, Silver Star telah sampai ke lokasi koordinat yang dituju. Mereka berhenti agak jauh dari SS Ourang Medan untuk memerhatikan apa sebenarnya yang berlaku. Satu isyarat komunikasi telah dihantar ke kapal berkenaan. Namun, tiada sebarang jawapan diterima sama ada melalui radio ataupun isyarat bendera.

Disebabkan tiada respons, satu pasukan telah dihantar untuk meninjau keadaan kapal SS Ourang Medan dengan lebih dekat menggunakan bot kecil. Dari jauh, mereka tidak melihat sebarang pergerakan di atas kapal, namun di bahagian lambungan terdapat beberapa ikan yu yang sedang berenang ke hulu ke hilir. Kemunculan ikan-ikan yu itu menandakan terdapat mayat di atas kapal berkenaan.

Setibanya di atas kapal tersebut, pasukan peninjau telah menyaksikan satu situasi yang amat menggerunkan. Mereka melihat mayat-mayat bergelimpangan di atas dek kapal.

Pasukan peninjau kemudiannya menuju ke ruang kemudi untuk mencari kapten SS Ourang Medan. Sebaik memasuki ruang berkenaan, mereka mendapati kapten dan beberapa kru kapal sudah tidak bernyawa. Mayat-mayat itu terbaring kaku. Manakala di ruang radio, petugas telegraf juga terkulai di atas peralatannya yang sudah tidak berfungsi.

Situasi itu menunjukkan seolah-olah kapten kapal tersebut telah mengumpulkan anak-anak kapalnya untuk merundingkan sesuatu sebelum mereka semua menemui ajal.

Apa yang paling mengerikan ialah mimik ketakutan yang terlihat pada wajah setiap mayat yang ditemui. Mayat-mayat itu berkeadaan pucat dengan mata terbuntang luas. Gigi mereka terkacip rapat manakala wajah mereka terarah ke langit. Beberapa mayat pula ditemui dengan keadaan tangan mengacung ke atas. Bahkan, bangkai seekor anjing yang ditemui di bawah dek juga berada dalam kondisi yang sama. Seolah-olah, nyawa mereka melayang ketika sedang melihat bahaya di depan mata.

Pasukan peninjau memeriksa keseluruhan kapal. Namun, mereka tidak menemui sebarang tanda-tanda kerosakan. Bahkan pada mayat-mayat yang bergelimpangan juga tiada ditemui luka atau kecederaan luaran. Ini menunjukkan tragedi berkenaan bukan angkara lanun atau serangan musuh.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Belum sempat penyiasatan dilakukan, satu lagi kejadian aneh berlaku. Entah apa sebabnya, kargo di atas kapal tersebut tiba-tiba mengeluarkan nyalaan api. Api menjalar dengan pantas sehingga memusnahkan hampir keseluruhan ruang kargo SS Ourang Medan.

Disebabkan itu, pasukan peninjau bergegas turun dari kapal itu menyelamatkan diri. Dalam masa beberapa minit sahaja, SS Ourang Medan telah meledak. Letupan itu telah menggegarkan Selat Melaka dan boleh didengari sehingga sejauh empat batu nautika.

Dari kejauhan, mereka melihat kapal SS Ourang Medan terbakar dan akhirnya tenggelam ke dasar lautan. Ia tenggelam bersama keanehan yang baru sahaja mereka saksikan.

SS Ourang Medan mangsa teknologi peperangan?

Misteri yang menyelubungi kapal SS Ourang Medan ini telah didedahkan kepada umum melalui sebuah jurnal ‘Proceedings of the Merchant Council’ yang diterbitkan oleh US National Coast Guard pada tahun 1953.

Beberapa penyelidik mendapati ada sesuatu yang aneh mengenai tragedi ini. Selain daripada terbitan itu, tidak ada sebarang data atau dokumen rasmi yang boleh dikaitkan dengan kapal berkenaan. Dengan kata lain, kapal itu seakan tidak pernah wujud.

Ada juga yang membuat andaian bahawa SS Ourang Medan mungkin berdaftar di Sumatera. Kerana itu bukti rekod kewujudannya tidak ditemui di Eropah.

Ahli sejarah bernama Roy Bainton dan seorang ahli akademik maritim dari Jerman, Profesor Dr. Theodor Siersdorfer Essen turut membuat penyelidikan tentang tragedi ini. Mereka cuba mencari data mengenai SS Ourang Medan, tetapi ia menemui jalan buntu.

Di dalam ‘Kamus Bencana Laut 1824-1962’ juga tidak ditemui sebarang daftar yang berkaitan dengan kapal ini. Tetapi, di dalam pencarian itu mereka menemui satu artikel dari Jerman karangan oleh Otto Mielke yang menyebut tentang peristiwa ini.

Mengandaikan SS Ourang Medan benar-benar wujud, Bainton dan Dr. Theodor mengemukakan pendapat berkemungkinan besar SS Ourang Medan adalah sebuah kapal penyeludupan. Disebabkan itu, tiada sebarang rekod kapal ini yang didaftarkan secara formal.

Mereka membuat teori bahawa kapal kargo ini berkemungkinan membawa muatan berupa bahan kimia berbahaya. Kebocoran bahan kimia itu dikatakan menjadi punca kematian anak-anak kapal SS Ourang Medan.

Ada banyak teori yang dikaitkan dengan kapal ini. Oleh kerana banyak keanehan, SS Ourang Medan lebih popular dikaitkan dengan kuasa misteri dan hantu. Sesuatu yang klise, tetapi begitulah tanggapannya.

Ada yang mengatakan SS Ourang Medan adalah kapal hantu dan akan muncul pada waktu-waktu tertentu di tengah laut. Ada pula yang mengatakan kematian semua kru kapalnya dalam mimik ketakutan disebabkan ada kuasa jahat atau gangguan misteri di atas kapal tersebut.

Tak kurang juga yang mengatakan SS Ourang Medan diserang hantu lanun. Lebih menggelikan hati, nama kapal Black Pearl, kapal berhantu yang popular itu turut dikaitkan.

Namun, satu teori ini lebih logik untuk diterima pakai. Ia tidak jauh berbeza dengan teori yang dikemukakan Bainton dan Dr. Theodor.

Teori ini berkaitan konspirasi kononnya SS Ourang Medan digunakan untuk membawa senjata biologi yang dikaitkan dengan unit 731, sebuah unit yang dibangunkan Jepun untuk menghasilkan senjata kimia. Shiro Ishii, seorang pakar bakterialogi Jepun yang bertugas dalam unit itu telah menghasilkan senjata biologi yang hebat untuk kegunaan Jepun dalam peperangan.

Shiro Ishii, pakar senjata biologi Jepun.

Shiro Ishii memang dikenali kehebatan penciptaan senjatanya. Dia pernah mencipta sebuah senjata biologi yang meragut lebih 200 ribu nyawa sewaktu perang dunia kedua.

Dikatakan kapal Ss Ourang Medan ini membawa senjata biologi ciptaanya. Sebab itu kewujudan kapal ini dirahsiakan. Namun, kru kapal telah terdedah kepada bahan berbahaya dari senjata rahsia itu yang akhirnya membuat keseluruhan anak-anak kapal itu mati.

Apa pun teorinya, semuanya sekadar hipotesis semata-mata. Tiada kepastian apa sebenarnya berlaku pada SS Ourang Medan, apatah lagi bangkai kapal ini tidak pernah ditemui sejak ia tenggelam.

Man of Medan, permainan video yang diilhamkan dari tragedi SS Ourang Medan.

Punya popular kisah SS Ourang Medan ni sehingga ia dibangunkan menjadi sebuah permainan video berjudul ‘The Dark Pictures Anthology : Man of Medan’. Dalam permainan ini, ada lima watak utama yang berusaha untuk mencari jalan keluar dari sebuah kapal bernama Ourang Medan. Yang kaki main video game tu, bolehlah cuba ya.