“Subhanallah” maha suci Allah, mudahnya untuk kita mendapat pahala. Dengan hanya memasang niat untuk membuat perkara baik pun, sudah diberi pahala. Apatah lagi jika niat yang baik itu direalisasikan. Berganda-ganda lagilah pahala. Istimewanya kaum hawa, sebarang perbuatan suami yang mendatangkan pahala, maka dia turut menerima ganjaran tersebut. Itulah Islam, agama yang tidak membebankan bahkan memberi pelbagai jalan untuk memudahkan seseorang masuk ke syurga-Nya.   

1. Wanita yang memberi susu badan kepada anaknya serta tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan Allah s.w.t. seluruh dosanya. Apabila dia hiburkan hati anaknya Allah s.w.t. memberinya ganjaran memerdekakan 70 orang hamba di jalan Allah.

Diriwayatkan dari Umar Ibnu Khattab dari Rasulullah s.a.w, “Apabila ia (wanita) melahirkan anak, maka tidak keluar seteguk susu dan tidak disentuh payudaranya dengan sentuhan melainkan untuknya pada setiap teguk dan satu sentuhan itu satu kebajikan. Jika ia berjaga malam maka baginya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba pada jalan Allah s.w.t.”

2.  Wanita yang menguli tepung dengan “Bismillah” Allah s.w.t. akan berkati rezekinya.

Dari Muaz bin Jabal, Rasulullah s.a.w bersabda, “Mana-mana perempuan yang berdiri atas dua kakinya membakar roti bagi suaminya, hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api itu, maka diharamkan muka dan tangannya dari kebakaran api neraka. Dan mana-mana perempuan yang menunggu suaminya pulang lalu disapukan mukanya, dihamparkan hamparan duduknya, disediakan makan minumnya, direnungkannya muka suaminya, memegang tangan suaminya, mengelokkan jamuan kepadanya, memelihara anaknya dan memanfaatkan hartanya kepada suaminya untuk mencari keredaan Allah, maka disuratkan baginya akan tiap kalimah ucapannya seperti memerdekakan seorang hamba. Pada hari kiamat Allah kurniakan padanya “nur” sehingga tercengang-cengang perempuan-perempuan Mukmin seluruhnya atas kurniaan keramat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke martabat itu melainkan Nabi-nabi.” HR Abu Hurairah

3. Mendirikan solat 5 waktu

Diriwayatkan dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perumpamaan solat 5 waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam, yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”- HR Muslim

4. Berpuasa di bulan Ramadan

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah s.a.w., “Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan 10 yang seumpamanya hingga 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. , “Kecuali puasa yang dikerjakan untuk-Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku.” Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” HR Muslim  

5. Menjaga maruahnya

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, ”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.” HR Muslim

6. Mentaati perintah suami

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintah mu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta mu ketika engkau tiada di rumah.” HR Thabrani