KEWAJIPAN menutup aurat sebagai wanita muslim, serta kawalan kebersihan terutama ketika di dalam dewan pembedahan telah mencetuskan idea kepada anak jati Seremban ini mencipta inovasi hijab pakai buang untuk barisan hadapan wanita muslim.
Inisiatif Dr. Farah Shaheera Roslan ketika bertugas sebagai doktor pelatih di University Hospitals Derby dan Burton, England ini telah membanggakan negara malah turut mendapat pujian daripada banyak pihak, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Jelas Dr Farah, idea untuk mencipta tudung steril pakai buang ini wujud tatkala dia terpaksa memakai tudung sepanjang hari di hospital dan ia tentunya kurang bersih terutama apabila terpaksa berada dalam dewan pembedahan yang memerlukan tahap kebersihan yang sangat tinggi.
Di sebabkan itu, pernah beberapa kali dia tidak dibenarkan berada dalam dewan pembedahan bagi mengelakkan jangkitan bakteria atau kuman semasa menjalankan pembedahan sedangkan itu merupakan minatnya sebagai pelajar perubatan.
Bagi mengimbangi minat dan kewajipannya sebagai muslim maka dia bertekad mencari apakah solusi serta material yang sesuai supaya dia tetap boleh berada dalam dewan pembedahan di samping tidak mengabaikan tuntutan agama.
Dengan bantuan mentornya Dr. Gillian Tierney, akhirnya dia menemui penyelesaian setelah mengambil masa tiga bulan melakukan penyelidikan dengan menghasilkan rekaan hijab dari fabrik yang legap, mudah bernafas, boleh diguna semula, jimat kos dan mudah dipakai. Setelah rekaan hijab pakai buang diluluskan, ia kemudian dibekalkan ke semua dewan pembedahan di bawah University Hospitals Derby dan Burton Trust.

Usaha dan sumbangannya ini telah melayakkan Dr. Farah dianugerahkan NHS Leadership Academy Award serta dicalonkan untuk British Muslim Award iaitu anugerah tahunan bagi mengiktiraf pencapaian dan kejayaan umat Islam. Dia kini berkhidmat dengan Northampton General Hospital dan bekerjasama dengan British Islamic Medical Association berkaitan garis panduan penggunaan hijab untuk kegunaan klinikal.
Konsep al-Falah
Kejayaan Dr Farah mencipta inovasi baru dalam kod pemakaian keselamatan di dewan pembedahan pastinya memberi inspirasi kepada umat Islam yang lain untuk berjaya sekalipun dibatasi dengan kewajipan mematuhi syariat agama. Ini juga bertepatan dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 52 yang bermaksud:
“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul Nya, dan takut kepada Allah serta bertakwa kepada Nya, mereka adalah orang-orang yang akan memperoleh kemenangan (kejayaan).”
Secara tidak langsung, kejayaan Dr. Farah juga telah membuka mata masyarakat belum Islam untuk memahami prinsip umat Islam yang tetap berpegang teguh dengan syariat agama walau dalam apa jua keadaan.
Sememangnya Islam tidak pernah membataskan umatnya untuk berdaya maju dalam apa juga bidang selagi mana ia memberi manfaat kepada seluruh makhluk. Apatah lagi kewajipan memenuhi syariat Islam tidak menjadikan umat Islam itu bersikap jumud serta menutup ruang untuk mencapai kejayaan.
Syariat Islam juga bukanlah seperti tembok yang menahan seseorang untuk keluar dari mencapai kejayaan tetapi ia adalah pintu yang perlu dibuka untuk menuju kejayaan. Bahkan sejarah telah membuktikan kemajuan yang dicapai hari ini adalah berteraskan dari pencapaian sarjana muslim yang tetap berpegang teguh dengan syariat Islam.
Dalam konteks ini, sudut pandang Islam meletakkan konsep al-Falah (berjaya) sebagai teras utama dalam hidup. Apa yang ditekankan dalam konsep ini ialah mendapat keuntungan, kebahagiaan, kejayaan bukan sahaja di dunia malah berkesinambungan untuk alam akhirat dengan upaya takwa dan keredaan Allah.
Bermakna, kejayaan yang dicapai itu pastilah bertitik tolak untuk memperoleh keredaan Allah semata-mata. Walau sehebat mana pun pencapaian dan kejayaan yang dicapai, jika ia mendapat murka Allah, maka itu bukanlah kejayaan tetapi kegagalan. Wallahu a’lam.

