Sah! Atomy Co. Ltd. punya agenda gerakan Kristianisasi

0
5789

MENERUSI kenyataan bersama team Atomy Dr. Tengku Asmadi dan Multiracial Reverted Muslim (MRM) yang diketuai pendakwah bebas Firdaus Wong pada 6 Januari 2021 yang lalu, kedua-dua pihak sepakat mengakui Atomy Co. Ltd. terlibat dengan aktiviti Kristianisasi.  

Hasil perjumpaan mereka dalam membincangkan isu kontroversi ini juga telah mencapai kesepakatan dalam 6 perkara iaitu:

  1. Hukum bermuamalah bersama belum Muslim adalah harus.  
  2. Bersetuju bahawa Atomy Malaysia Sdn. Bhd. dimiliki 100 peratus oleh Atomy Co. Ltd.
  3. Atomy Co. Ltd. terlibat dengan aktiviti gerakan Kristianisasi
  4. Berkenaan penggunaan produk Atomy : Jikalau produknya halal maka halal penggunaannya. Jikalau sistemnya patuh syariah, maka halal pendapatannya, sehinggalah diputuskan oleh pihak berautoriti. Mereka berharap para mufti dan intitusi berautoriti dapat mengeluarkan fatwa tentang isu ini.  
  5. Mereka juga bersepakat bahawa sama ada untuk terlibat dalam perniagaan Atomy atau sebaliknya adalah pilihan individu Muslim dan kita semua tetap saudara seislam tanpa ada unsur provokasi mahupun saling melabel sesama sendiri atau serta perlu saling menghormati pilihan masing-masing. Semua yang beriman itu bersaudara.
  6. Memahami bahawa semua ahli Atomy Malaysia tertakluk kepada polisi Atomy Malaysia iaitu Atomy Code of Ethic (section 17) dan Atomy Code of Ethics (section 18).

Terdahulu, isu ini menjadi kontroversi dan perdebatan umum apabila MRM menerusi pengasasnya saudara Firdaus Wong telah mendedahkan bahawa Atomy merupakan sebuah pertubuhan perniagaan yang secara terang-terangan menyokong usaha-usaha Kristianisasi.

Pendedahan itu dibuat melalui bukti yang diperoleh daripada pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta anugerah yang dimenangi oleh syarikat itu. Malah, melalui laman web Atomy Co. Ltd., mereka secara terang-terangan mengakuinya.

Atomy Co. Ltd. adalah syarikat yang diasaskan oleh Han Gill Park dari Korea Selatan pada tahun 2009. Syarikat yang berpangkalan di Gongju Korea Selatan ini telah mengeluarkan lebih 400 produk dalam pelbagai kategori termasuk makanan tambahan nutrisi, kecantikan, fesyen dan hiasan rumah.

Dengan menggunakan sistem Multi Level Marketing (MLM), syarikat ini telah meluaskan pengaruhnya di beberapa buah negara termasuklah Malaysia.

Setiap tahun, syarikat ini menjana keuntungan yang sangat besar di mana sebahagian daripada hasil keuntungan mereka telah disalurkan untuk gerakan Kristianisasi yang dikenali sebagai Dreamy Foundation.

Han Gill Park pengasas Atomy Co. Ltd

Sayap ini ditubuhkan untuk mempromosikan ajaran Kristian dan aktiviti dakwah kerana Atomy merupakan syarikat Kristian berasaskan prinsip perniagaan sebagai misinya. Banyak aktiviti yang dijalankan antaranya mengadakan kelas Bible secara global, kelas Bible untuk pelajar sekolah dan ceramah yang berkaitan topik keimanan dan pekerjaan. Atomy juga turut membuka sekolah Kristian untuk melatih pendakwah Kristian yang dikenali sebagai Dreamy School.

Di Malaysia sebagaimana yang dipaparkan dalam sebuah video yang dikongsikan dalam facebook MRM menyatakan Atomy Malaysia mula bertapak dan berkembang sejak tahun 2017 lagi melalui perjumpaan Christian Revival Meeting Fellowship yang berteraskan kepercayaan agama Kristian melalui seorang pastor dari Korea Selatan, Pastor Sooil Kim.

Atomy di Malaysia juga dikatakan kerap memberi bantuan kepada pertubuhan Kristian yang dinamakan Young Men’s Christian Association (YMCA).  Namun tidak dapat disahkan kebenarannya.

Dreamy School dibina untuk melatih pendakwah Kristian

Ramai yang terlibat dengan Atomy Malaysia termasuklah figura-figura dakwah dan pakar motivasi terkenal. Mereka sama ada menjadi agen jualan atau duta mempromosikan produk-produk keluaran Atomy.  Bahkan untuk menyertai Atomy sama ada sebagai ahli atau agen jualan tiada sebarang yuran atau pun perbelanjaan modal dikenakan. Semuanya secara percuma.

Sehingga kini kita masih menunggu lagi kenyataan dari pihak berautoriti sama ada dari pejabat mufti atau Majlis Fatwa berhubung isu ini. Wallahu a’lam.