Ketahui 7 tahap nafsu dalam diri

0
23

Nafsu merupakan salah satu kurniaan Allah yang sering digunakan oleh manusia dalam memutuskan sebarang keputusan serta tindakan seseorang.  Sebagai seorang Muslim yang mengimpikan tempat di taman syurga, kita seharusnya mampu mengawal, mendidik dan menawan nafsu kita dengan sebaiknya.  Adalah tidak adil bagi kita untuk melabel nafsu sebagai satu entiti yang negatif kerana nafsu turut mempunyai ciri-ciri positif.

Nafsu yang baik akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan manakala nafsu jahat akan mendorong manusia ke arah yang sebaliknya.  Nafsu yang baik perlu sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan kerana nafsu merupakan panasihat serta pendorong kepada akal dalam merancang dan mengatur sebarang tindakan.  

Sebagai seorang Muslim, kita perlulah sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan tahap nafsu sepertimana yang telah dikelaskan oleh ulama-ulama tasawuf:

1. Nafsu Ammarah

Nafsu ammarah merupakan peringkat nafsu yang paling rendah dan hina tarafnya. Nafsu ini sering menjerumuskan manusia dengan perkara-perkara jahat yang ditegah oleh Allah serta cenderung untuk mengajak manusia ke arah dosa dan kejahatan.  Golongan yang berada dalam nafsu ini akan sentiasa terdorong untuk melakukan kemaksiatan tanpa merasa sesal terhadap dosa dan kemungkaran yang dilakukan.

Allah berfirman: Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Yusuf : 53

Mereka yang menjadi hamba kepada nafsu serta memiliki hati yang penuh dengan sifat-sifat mazmumah seperti khianat, pemarah, pendendam, tidak sabar, kuat makan, riak, dengki, kedekut dan gemar mencari nama untuk kepentingan diri sendiri. Mereka yang memiliki nafsu ammarah akan sering gembira apabila beroleh nikmat dan berputus asa apabila diuji Allah.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu lawwamah merupakan nafsu kesal.  Manusia akan berasa menyesal dan bersalah apabila melakukan perkara-perkara mungkar dek kerana mengikut nafsu ammarah. Namun mereka masih belum cukup kuat untuk melawannya walaupun hati mereka mengecam dan mencela tindakan buruk tersebut.  Mereka masih lagi lemah untuk membebaskan diri dari terjerumus dengan perkara-perkara keji.

Nafsu lawwamah berasa kesal kerana dosa yang dilakukan

3. Nafsu Mulhamah
Hasil dari penaklukan dua nafsu yang sebelumnya, manusia mulai dapat mengenal pasti penyakit-penyakit hati yang bersarang.  Mereka turut diberikan petunjuk dan hidayah untuk mendidik nafsu menerusi sifat-sifat sabar, tenang serta bersyukur dengan kurniaan Allah.  Mereka akan mulai membuat kebaikan dan amal soleh walaupun berasa payah dan sukar untuk melakukannya.  Malah, mereka turut merasa gentar untuk melakukan sebarang kejahatan kerana khuatir dengan azab dan seksaan Alah. 

4. Nafsu Muthmainnah

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan baiknya, Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”  Al-Fajr: 27-30

Pada saat ini, diri manusia itu telah meningkat pada tahap yang lebih baik iaitu nafsu Muthmainnah.  Nafsu ini merupakan peringkat nafsu pertama yang diredhai oleh Allah dan layak untuk memasuki syurga.  Diri manusia akan mejadi lebih tenang kerana manusia sudah mampu untuk menangkis segala penyakit hati. 

Perasaan benci untuk melakukan perkara-perkara mungkar mulai terbit dari hati kerana diri mulai cermat dengan ukuran dosa dan pahala. Tahap nafsu ini lebih sempurna kerana hati manusia akan menjadi lebih mulia di mana ia akan sentiasa berjihad dari menghampiri sebarang kejahatan.  Mereka akan sering berjuang untuk mendekatkan diri kepada Allah di samping berusaha untuk meraih cintaNya.


5. Nafsu Rhodiyah

Dengan lahirnya perasan cermat atas ukuran ganjaran bagi setiap amalan, maka nafsu manusia itu akan seterusnya naik ke tahap seterusnya.  Mereka akan lebih tekun mengabdikan diri kepada Allah dan mampu untuk menundukkan syaitan yang berada di dalam diri.  Manusia akan terus melakukan amal soleh tanpa mempedulikan sebarang urusan yang beunsurkan dunia.  Hati manusia hanya pada Allah dan manusia akan senantiasa meredhai sebarang ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya.

6. Nafsu Mardiyah

Manusia yang memiliki nafsu ini akan sentiasa mendapat redha Allah.  Ini kerana hati mereka kini dipenuhi dengan kesucian, keikhlasan dan keberkatan.  Segala pendengaran, penglihatan, pemikiran serta perbuatan yang mereka lakukan akan diredhai oleh Allah.  Jiwa mereka akan turut dapat merasai redha Allah lantaran sering melaksanakan apa yang disunatkan dan menjauhi perkara-perkara makruh.  Apa yang istimewa pada tahap ini ialah bukan sahaja diri mereka mencintai Allah tetapi Allah juga akan turut membalas cinta mereka.

Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis Qudsi :

Senantiasa hamba Ku mendekatkan diri kepada Ku dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunnah sehingga Aku cinta padanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, jadilah Aku pendengarannya yang dengannya ia mendengar, penglihatannya yang dengannya ia melihat, perkataannya yang dengannya ia berkata, jadilah Aku tangannya yang dengannya ia berbuat, jadilah Aku kakinya yang dengannya ia melangkah, dan akalnya yang dengannya ia berpikir”

7. Nafsu Kamaliyah

Nafsu kamaliyah merupakan peringkat nafsu yang tertinggi. Manusia biasa tidak mampu mencapai tahap ini kerana pemilik bagi nafsu ini ialah para Nabi dan Rasul iaitu insan yang suci dan sempurna.  Ini kerana Allah sentiasa mengawal, membimbing dan memelihara segala tingkah laku mereka.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik