Amalan ini boleh meredakan stress dan menjaga jantung…

0
17

Meminta maaf dan memaafkan adalah dua situasi berbeza yang sangat sukar untuk dilakukan bagi kedua pihak. Hanya mereka yang punya jiwa besar sahaja mampu melakukannya. Islam memandang tinggi kepada orang yang sudi memberi kemaafan, bahkan Allah s.w.t. turut menyatakan kecintaannya kepada mereka yang sudi memberi kemaafan berdasarkan firman Nya dalam surah Ali-Imran: 134

“Iaitu orang yang menafkahkan (hartanya) di waktu senang mahupun susah, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan”

Dari sudut kesihatan, beberapa penelitian telah dilakukan membuktikan bahawa perasaan benci, dendam dan permusuhan akan meningkatkan tekanan darah tinggi. Sebaliknya amalan memaafkan boleh meredakan tekanan (stress) dan menjaga jantung kekal sihat.

Tekanan muncul di saat jiwa seseorang timbul rasa kecewa atau tersakiti. Melupakan atau menganggap benar sesuatu kesalahan itu pastinya akan menyebabkan rasa sakit dalam hati dan kadang rasa terbeban dalam diri.

Oleh itu, perbuatan memaafkan adalah satu proses perdamaian dengan diri sendiri yang akan membuatkan seseorang menjadi lebih tenang. Dengan keadaan mentalnya yang lebih tenang, ia terhindar dari perlakuan yang negatif seperti pengambilan alkohol, atau ubatan terlarang. Risiko biasanya dihadapi oleh golongan pendendam yang memerlukan jalan singkat untuk melepaskan diri dari bebanan emosi negatifnya.

Satu kajian telah dijalankan oleh University of Massachusetts berkaitan menurunkan tekanan darah dengan lebih cepat. Kesan percepatan itu boleh mencapai sehingga 20 peratus terutama kepada wanita, sementara bagi lelaki kesannya hanyalah minima sahaja.

Tekanan darah, denyut jantung dan kontraksi otot biasanya meningkat ketika seseorang terlibat dengan konflik sehingga risiko serangan jantung dan strok menjadi lebih tinggi. Gejala tersebut akan mula hilang ketika konflik berakhir, atau akan lebih cepat jika kedua pihak yang berkonflik saling bermaafan.

Sikap memaafkan membantu menyihatkan jantung dan menghilangkan tekanan

Menurut penelitian dari University of Valencia pula, permintaan maaf lebih berkesan jika disampaikan melalui telinga kanan.

Itu kerana sensor pendengaran di sebelah kanan terhubung dengan belahan otak kiri iaitu bahagian yang berhubungan dengan logik. Keadaan itu akan menyebabkan permintaan maaf ditangkap dan diproses dengan lebih rasional.

Manakala kajian lain yang dilakukan oleh Luther College dan University of California Amerika Syarikat menunjukkan, sikap memaafkan akan mempengaruhi tahap kesihatan mental dan fizikal seseorang. Seseorang yang mempunyai sikap memaafkan baik kesalahan diri sendiri, atau orang lain akan dapat menghilangkan kecenderungan stress dan sakit fizikal.

“Sikap memaafkan boleh menghapuskan tekanan. Jika anda tidak punya kecenderungan itu maka anda akan merasakan kesan tekanan jangka panjang dan anda tidak memiliki penawar untuk mengatasinya” Jelas Loren Toussaint pengkaji dari Luther College.

Satu kajian komprehensif telah dilakukan kepada 148 orang yang berusia 20-an. Kalangan ini dinilai sedang menghadapi tekanan baik kerana urusan kerja, kewangan atau masalah lainnya. Mereka yang tidak boleh memaafkan memiliki keadaan mental dan kesihatan fizikal yang lebih buruk dari para pemaaf. Tekanan ini menyebabkan seseorang sukar mengawal diri dan biasanya lebih sering memilih makanan yang tidak sihat.

Memaafkan adalah karakter orang yang bertakwa

Sementara itu pengarang buku the Psychology of Interpersonal Forgiveness, RD Enright turut mengatakan, di saat kita memutuskan untuk memaafkan seseorang, kita telah membuat keputusan untuk meninggalkan dan membuang keinginan kita untuk membalas dendam dan perasaan sakit hati. Kita juga berhenti menilai dan mengadili orang yang menyakiti kita.

Dibandingkan dengan tindakan membalas dendam, sakit hati dan melakukan pengadilan, kita memilih untuk menunjukkan kemurahan hati, kasih sayang dan kebaikan.

Dalam aspek memaafkan, kita sebenarnya tidak melupakan kesalahan yang terjadi dan juga tidak menganggapnya benar melainkan kita telah menggantikan perasaan dan fikiran negatif kita dengan fikiran, perasaan dan tingkahlaku yang positif. Dan itulah sebenar-benarnya karakter bagi orang yang bertakwa.