Sejak lima dekad yang lalu, masyarakat dunia sering didedahkan tentang keanehan kawasan perairan segi tiga Bermuda yang terletak di lautan Atlantik. Bermuda dikaitkan dengan misteri dan pelbagai keanehan. Banyak bot, kapal laut, malahan kapal terbang yang melalui kawasan ini dilaporkan hilang tanpa meninggalkan sebarang jejak atau tanda.

Namun mungkin ramai tidak tahu, di sebuah lokasi berbeza di Lautan Pasifik, fenomena yang hampir serupa turut dilaporkan berlaku.

Kawasannya ialah di perairan laut negara Jepun, merangkumi pulau Miyake dan terletak kira-kira 100 kilometer ke arah selatan bandar Tokyo.  Koordinatnya berada bertentangan dengan segi tiga Bermuda.

Kedua dua segitiga di perairan berbeza ini mempunyai fenomena misteri yang sama.

Ia digelar sebagai segi tiga Naga (Dragon’s Triangle), atau juga disebut The Devils’s Sea. Kejadian aneh yang berlaku di sini dikaitkan dengan mitos yang pernah diungkapkan oleh masyarakat Jepun sejak 3,000 tahun yang lalu.

Sekitar abad ke-10 Sebelum Masihi, masyarakat Jepun mempunyai satu kepercayaan bahawa terdapat naga laut yang mendiami kawasan barat laut perairan negara itu. Kapal-kapal nelayan yang belayar di daerah berkenaan sering kali dilaporkan hilang secara misteri. Ghaib tanpa dapat dikesan.

Orang-orang Jepun mengenali kawasan perairan ini dengan panggilan Ma No Umi, yang membawa maksud Laut Syaitan. Adakalanya mereka memanggil sempadan tiga penjuru ini dengan nama segi tiga Naga, bersempena dengan mitos yang telah ditinggalkan oleh masyarakat terdahulu.

Kes-kes yang berlaku di perairan ini sering dibandingkan dengan Bermuda. Selain kapal dan pesawat yang hilang entah ke mana, segi tiga Naga ini juga dikaitkan dengan gangguan paranormal, kecelaruan waktu, kerosakan sistem elektronik dan bacaan kompas yang menggila. Cuacanya juga sering digambarkan ekstrem, berkabut dan tidak terduga. Semua keadaan ini sama seperti yang dilaporkan berlaku di Bermuda.

Antara individu terawal yang melakukan penyelidikan mengenai Segi Tiga Naga ini ialah seorang ahli falsafah Amerika Syarikat, Charles Berlitz. Dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1989, Berlitz melaporkan bahawa di antara tahun 1952 hingga 1954, sebanyak lima buah kapal tentera Jepun telah hilang di perairan ini. Dalam tempoh dua tahun itu, jumlah kematian yang dicatatkan lebih 700 orang.

Charles Berlitz dan buku yang ditulisnya tentang segitiga Naga.

Jepun telah menghantar sepasukan saintis tempatan untuk menyiasat apa sebenarnya yang telah berlaku. Namun, apabila kapal Kaiyo Maru 5 yang membawa sekumpulan penyelidik itu turut hilang, misi berkenaan digugurkan begitu sahaja. Dalam masa yang sama, kerajaan Jepun turut mengisytiharkannya sebagai zon bahaya.

Pada tahun 1995, seorang lagi pengkaji dari Amerika Syarikat, Larry Kusche tampil menafikan apa yang dinyatakan oleh Berlitz.

Menurut Kusche, kapal-kapal tentera yang dinyatakan oleh Berlitz sebenarnya bukanlah kapal perang, tetapi ia adalah kapal-kapal penangkap ikan. Bahkan, ia hilang bukan di dalam zon segi tiga Naga. Bagi mengukuhkan pendapatnya, beliau juga turut menyatakan fakta bahawa pada pertengahan abad ke-20, beratus-ratus bot nelayan telah dilaporkan hilang di seluruh Jepun setiap tahun.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, Kusche berpendapat fenomena paranormal yang sering dikaitkan dengan segi tiga Naga berlaku disebabkan oleh aktiviti gunung berapi dan pergerakan seismos. Perairan kawasan ini dipenuhi dengan gunung-gunung berapi yang sangat aktif, yang mana kerap kali menyebabkan pulau-pulau kecil hilang dan membentuk kepulauan-kepulauan kecil yang baru.

Segi tiga Naga yang mengundang pelbagai keanehan dan dikaitkan dengan naga oleh masyarakat Jepun.

Sementara itu, seorang lagi pengkaji dari Scotland, Ivan T. Sanderson menyatakan, berdasarkan kepada peta bumi, kedua-dua segi tiga misteri ini sebenarnya terletak pada garis bujur antara 30 dan 40 darjah arah utara garisan khatulistiwa. Ia adalah lokasi di mana berlakunya pertembungan arus air hangat dan arus dingin. Disebabkan itu, fenomena yang berlaku di kedua-dua tempat didapati hampir serupa.

Sehingga ke hari ini, kebanyakan kes kehilangan yang berlaku di situ masih belum dapat dipecahkan. Banyak pihak cuba mengaitkannya dengan cerita mitos seperti angkara makhluk asing. Namun, tiada satu pun dakwaan itu dapat dibuktikan. Malah, banyak penjelasan yang dikemukakan juga agak tidak rasional.