Peribahasa menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Maksudnya, berwaspada sebelum ditimpa kesusahan. Pun begitu, sebatang payung boleh menjadi punca kepada tragedi berdarah. Seperti kisah di bawah ini…

KISAH 1 – Kisah ini berlaku di New York pada tahun 1891. Lewat malam, tiga orang lelaki yang minum di sebuah bar yang sama keluar untuk pulang ke rumah. Seorang yang dikenali sebagai James Doyle, mengambil satu arah jalan. Manakala Walter William Hobbs dan seorang lelaki yang tidak dikenali, mengambil arah jalan berbeza. Belum jauh berjalan, James mendengar suara kedua-dua lelaki itu bergaduh. Bila James berpaling, dia melihat Walter ditikam menggunakan hujung payung oleh lelaki yang seorang lagi. Lelaki itu terus melarikan diri selepas menikam Walter. James dan beberapa orang lelaki berhampiran membantu Walter yang kemudian dibawa ke hospital. Menurut doktor, Walter mengalami luka yang serius dan terpaksa menidurkannya dengan alkohol. Namun, Walter tidak dapat bertahan dan akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan berpunca daripada payung yang ditikam lelaki tidak dikenali itu telah tercucuk sejauh empat inci ke bahagian otaknya.

KISAH 2 – Tarikh 21 Mac 1890, lokasi di William Street, Melbourne, Australia. Orang awam menyaksikan Alexander Crombie sedang bersandar di depan sebuah hotel. Kemudian, John G. Robinson keluar dari bar berdekatan hotel tersebut. Crombie dilihat berbual dengan Robinson. Orang awam menjadi saksi bila melihat Crombie tiba-tiba mengangkat payung di tangannya lalu mencucuknya ke mata kiri Robinson yang meraung kesakitan dan dibawa ke hospital. Crombie mendakwa, topi yang dipakainya menjadi punca pergaduhan mereka yang menyebabkannya marah lalu menjolok lelaki itu dengan payungnya. Crombie ditahan, namun sebulan kemudian dibebaskan atas dakwaan tidak sengaja.

KISAH 3 – Pada 31 Mei 1909 di Los Angeles, dua beradik bermain bersama sebelum si abang yang berusia 11 tahun, John Czercna berlari masuk ke rumah dan menutup pintu. Adiknya, Joseph Megala yang berusia lima tahun cuba mengintai abangnya di dalam rumah melalui lubang kunci. Apabila melihat mata Megala di lubang kunci itu, tanpa disangka-sangka Czercna telah mengambil payung dan menjolok hujung yang tajam ke dalam lubang kunci. Akibatnya, mata kanan Megala tercucuk dan mengakibatkan luka yang teruk. Mata kanan Megala bukan saja rosak, bahkan ia turut meragut nyawa kanak-kanak itu pada hari yang sama.

KISAH 4 – Pada 11 November 1906, di Connecticut, Amerika Syarikat, dua orang lelaki telah bergaduh kerana berebutkan sebatang payung di hadapan sebuah gereja. Pergaduhan Bernardino Descenza dan Michael Niro yang berebut payung itu akhirnya membawa kepada masalah lebih serius. Michael mencapai payung yang mereka rebutkan dan menyerang Bernardino hingga menyebabkan lelaki itu menjerit kesakitan kerana kecederaan pada matanya. Dia dibawa ke hospital dan meninggal dunia sejam kemudian. Polis menahan Michael beberapa jam kemudian kerana kesalahan menyerang mangsa dengan payung hingga mengakibatkan kematian.

KISAH 5 – Pada 12 Januari 1904, seorang pelombong arang dari Indiana, Amerika Syarikat yang berusia 21 tahun, Charles Keuler ditemui terbaring mati di hadapan sebuah rumah opera, Evansville. Dikatakan sebelum itu dia dilihat bertengkar dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Charles dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia kerana sesuatu telah menembusi otaknya. Apabila diperiksa, tiada peluru dijumpai, tanda lelaki itu bukan ditembak. Setelah disiasat, rupanya luka yang tembus hingga ke otaknya disebabkan tusukan tajam daripada hujung payung. Tidak lama kemudian, seorang lelaki berusia 19 tahun, Louis Roth datang ke balai polis dan membuat pengakuan bahawa dia yang telah membunuh Charles menggunakan sebatang payung.

KISAH 6 – Lokasi kejadian di sebuah bar di Tamworth, New South Wales pada tarikh 18 April 1908. Malam itu, William Welbourne dan rakan-rakannya masuk ke bar untuk minum. Seorang lelaki di dalam bar itu bernama Henry Browns tiba-tiba bangun dan bertengkar dengan Welbourne. Menurut saksi, dua kali Browns mengambil botol kaca untuk memukul Welbourne namun sempat ditahan oleh petugas di situ. Namun, sekelip mata tiba-tiba saja Welbourne jatuh rebah dengan matanya yang berlumuran darah. Di tangan Browns, terdapat payung yang bucunya turut sama bersalut darah. Welbourne mati di tempat kejadian.

KISAH 7 – James dan William Fogarty tidak pernah berbaik walaupun mereka adik-beradik kandung. Hampir setiap masa, mereka selalu bertengkar. Bahkan James pernah berkata, dia akan membunuh William suatu hari nanti. Pada 9 September 1888, di New York City, William lebih pantas bertindak dalam menunjukkan kebencian mereka. Dia menyerang James dengan sebatang payung dan menjolok mata James, menyebabkan pendarahan dan seterusnya kematian serta-merta. William ditahan dan dijatuhi hukuman mati.

KISAH 8 – Ernest Smith seorang pedagang produk susu di Chiswdck, London. Pada 28 November 1908, dia berhenti di Shepherd’s Bush untuk membantu seorang wanita yang didera seorang lelaki. Setelah selesai, Ernest bergerak menaiki trem untuk pulang. Tanpa dia sedari, lelaki itu mengikutnya untuk membalas dendam. Apabila semakin mendekat, lelaki bernama William Ward itu menikam mata Ernest menggunakan payung. Ernest tercampak keluar dari kenderaan dalam keadaan matanya berlumuran darah di tepi jalan. William pula melarikan diri. Ernest mati malam itu juga akibat kecederaan serius. William pula hanya berjaya diberkas pada tahun 1912 di Australia dan dibawa pulang ke London untuk perbicaraan. Dia dihukum penjara selama sembilan bulan.

KISAH 9 – Sebuah restoran di West Madison Street, Chicago, berdepan dengan kematian yang melibatkan payung pada 24 November 1899. Kali ini ia melibatkan pergaduhan seorang pelanggan dan pelayan restoran. Pertengkaran bermula apabila seorang pelanggan tidak berpuas hati dengan harga makanan yang dipesan. Pelayan tersebut, John Tates, ikut sama meradang apabila mendengar bebelan pelanggan itu. Mereka mula bertengkar dan John hilang kawalan. Dia mula berlari ke arah pelanggannya untuk menyerang. Pelanggan itu pula cepat-cepat membuka payungnya, tindakan spontan untuk melindungi dirinya, menyebabkan bahagian bucu yang tajam tertusuk pada paru-paru John yang akhirnya meragut nyawa pelayan itu.

KISAH 10 – Georgi Markov merupakan pembangkang Bulgaria dan seorang wartawan BBC telah diserang dengan payung pada 7 September 1978. Kakinya ditusuk dengan payung tersebut, dilihat seperti tidak disengajakan oleh orang yang lalu-lalang. Tidak lama kemudian, Markov mengadu kakinya tiba-tiba menjadi keras seperti keradangan. Dia dibawa ke hospital. Doktor memberitahu kakinya sudah bertoksik, dan Markov mula diserang demam panas. Beberapa hari kemudian, Markov meninggal dunia. Doktor mendapati terdapat luka tusukan pada bahagian kaki yang terkena payung. Apabila pemeriksaan X-ray dibuat, terdapat pelet platinum kecil dalam luka itu. Apabila pelet itu dikeluarkan, di dalamnya terdapat dua lubang kecil yang berisi racun jenis ricin. Dikatakan pembunuhan terancang ke atas Markov ini dilakukan Ejen Perkhidmatan Rahsia Bulgaria.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik