Ramai yang tertanya-tanya siapa penyanyi lagu OST drama The Maid, ini dia orangnya…

0
328

SELEPAS muncul dalam program realiti nyanyian Vokal Mania, pendatang baharu Syafiq Naser kini muncul dengan single sulung berjudul Lenggang.

Lebih menarik lagi apabila Lenggang turut dijadikan lagu runut bunyi untuk drama The Maid yang sedang ditayangkan Astro Ria saluran 104 dan 124.

Sebenarnya, wajah Syafiq tidak asing bagi pengguna laman sosial, ini kerana dia merupakan personaliti media sosial yang dikenali kerana sering membuat video parodi sejak dua tahun lalu.

Menurut Syafiq, dia gembira apabila lagu yang berentak pop catchy serta menggabungkan pelbagai elemen itu mendapt sambutan baik daripada penonton drama berkenaan sehinggakan ramai yang tertanya-tanya siapa pemilik suara lagu itu.

“Ini single pertama saya dan tak sangka diberi peluang untuk merakamkan lagu runut bunyi sebuah drama popular. Sebagai orang baharu dalam industri seni, saya bersyukur dengan peluang ini dan anggap ini satu permulaan yang baik untuk karier nyanyian saya.

“Walaupun baharu dilancarkan, tetapi maklum balas yang diterima begitu baik. Saya menghargai setiap komen serta kritikan dan harap lagu ini akan diterima baik oleh semua,” kata pemuda berusia 26 tahun ini.

Lenggang sudah dilancarkan secara rasmi pada 13 Januari lalu dan pastinya lagu ciptaan the AmzarSabri ,Muaffirah dan Dayne itu begitu dekat dengan perwatakkan dirinya yang periang.

“Ini juga menjadi pengalaman pertama saya masuk ke studio rakaman. Bukan mudah sebenarnya nak menyiapkan lagu ini tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak membantu terutamanya mencari kesesuaian lenggok dan ‘feel’.

“Lagu ini mempunyai pelbagai karakter dan saya perlu mendalami satu persatu terlebih dahulu. Syukurlah semuanya berjalan dengan lancar dan saya tak berhadapan dengan masalah besar,” ujar anak kelahiran Perak ini lagi.

SYAFIQ Naser beharap single Lenggang akan menjadi penanda aras untuk dia aktif dalam dunia seni

Meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19, Syafiq sempat menyiapkan video muzik Lenggang pada penghujung tahun lalu.

Istimewanya lagi berkenaan video muzik itu apabila Syafiq dituntut untuk menari dan membawakan pelbagai watak termasuklah sebagai bapa bermisai tebal.

“Saya memang takut bila dapat tahu kena menari. Dengan tak ada latihan, saya beranikan diri sahaja. Mujurlah penari yang terlibat banyak memberikan tunjuk ajar, kalau tak memang haru-biru juga jadinya!.

“Dari pagi membawa ke malam, baharulah selesai proses rakaman. Ini memang cabaran baharu buat saya. Apa yang penting hasilnya disukai ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya dengan nada puas.

Video muzik Lenggang boleh ditonton di saluran Youtube Indigital Music, manakala lagu ini juga boleh distrim di semua platform digital.