HANISA
Oleh : Aksara Sakti
AKU yang masih bersandar pada pilar ruangan rehat berhampiran tempat wudhu, tetap membisu. DiĀ hadapanku Haji Basirun masih duduk menekur lantai. Suasana petang amat suram dan sayu, seakan melatari runtunan jiwa Haji Basirun. Ternyata dukanya kian berlarutan. Nyeri tak kunjung dingin, air mata tak juga kunjung kering.
Saat air matanya hampir menitis, secepat itu juga dia mengesat dengan hujung lengan baju melayu lusuhnya. Suara hingar-bingar jemaah nan berasak keluar sesudah solat Asar tadi, kini kian menyepi.
Hanya aku dan Haji Basirun yang masih tertinggal di ruangan tepi pintu masuk utama. Kedengaran lagi esak tangis Haji Basirun, dan aku kian lelah…
“Sudahlah tu Bang Haji. Dah dua minggu arwah Hanisa meninggal, dan Bang Haji tak berhenti menangisi pemergian arwah. Rasanya Bang Haji pun arif, tak elok menangisi arwah dengan berlebihan…”
Perlahan dia mendongak dan memandang wajahku.
“Aku orang tua, Dani. Sumbangan apa lagi yang dapat aku berikan selain doa dan air mata?”
Jelas suaranya kian memecah menahan tangis.
“Saya tahu Bang Haji. Siapa yang tidak terkesan dengan kehilangan yang tersayang?
Tapi bukanlah sampai sebegini. Saya risau tangis berlebihan ini kan jadi meratapi yang meninggal. Seolah tidak reda denga…”
“Aku sedar itu Dani. Sudah aku berusaha untuk tidak terlalu bersedih. Tapi jiwa aku terlalu jauh tersayat luka perih.
ā12 tahun kami melayari bahtera berkahwin tanpa zuriat. Kami telan segala pahit dan perih pabila orang sekeliling, bahkan ahli keluarga sendiri merendahkan kami yang tidak dikurniakan anak. Jelas Tuhan itu tidak tidur, kan? Sekian lama menunggu akhirnya isteri aku mengandung juga.
āAlangkah lapangnya dunia ini!!
āHari demi hari dihintung, dinanti penuh sabar.
āBelum pun cukup 9 bulan, waktu untuk bersalin ternyata telah tiba. Rupanya dia lahir tidak cukup bulan. Doktor pun nasihatkan, amat berisiko melahirkan saat itu. Tapi keinginan Hanisa untuk lahir ke dunia terlalu kuat! Seakan tidak dapat ditahan lagi. Saat dilahirkan, dua kali jantungnya berhenti tapi dia masih terselamat. Akhirnya dia mula bernafas normal di saat ibunya pula menghembuskan nafas terakhir!”
Di sini Haji Basirun terhenti. Kembali mengesat pelupuk mata nan kian ditakungi air jernih.
Belum sempat aku menenangkan, beliau kembali bersuara…
“Begitu sayang aku pada Hanisa. Ke hulu ke hilir ku dukung tanpa aku kenal erti penat lelah. Aku tutupi pintu untuk semua perempuan, aku tidak kahwin lagi kerana aku tak mahu menjadikan kasih aku pada Hanisa berbelah bagi.
Tapi Hanisa membesar dengan sakit satu demi satu. Paru-parunya sebelah kiri tidak normal. Mungkin kompilasi dari lahir tidak cukup bulan. Terpaksa yang sebelah kanan bekerja lebih kuat.

Pernah saat dia di terlantar di hospital buat kesekian kalinya, aku menggenggam tangannya, dia tersenyum payah.
Katanya, ayah janganlah sedih. Nisa akan sihat kembali. Nisa nak membesar dengan sihat. Kan Nisa nak jaga ayah?”
Suaranya memecah menahan sebak nan kian menusuk.
“Sekarang… siapa lagi yang akan aku harapkan menjaga aku yang kian tua ini, Dani?”
Ya! Aku mula merasa getar hebat nan melanda jiwa Haji Basirun.
………………
Haji Basirun masih meneruskan hidup dalam kekesalan dan kesedihan nan tiada terperi. Satu malam, mungkin dek lelah lama menangis, dia tertidur dalam kejerihan. Saat itu dia melihat dirinya melintasi awan gemawan di kaki langit. Kian meninggi hingga terasa sayup melihat dunia yang ditinggalkan di bawah.
Dalam kabus gemawan kian menipis, dia melihat Hanisa terbongkok seakan sedang rukuk.
Menjerit kegembiraan dia melihat anak gadis kesayangannya. Terus meluru menghampiri, tapi perlahan terhenti.
Hanisa bukan sedang rukuk, tapi dia dia tidak dapat berdiri lantaran sedang menjunjung baldi yang amat besar berisi air di atas tengkuknya. Nyata baldi besar itu amat berat.
Terkesima Haji Basirun. Perlahan menggumam…
“Hanisa… Hanisa sayang, kenapa Hanisa begini? Apa yang Hanisa bawa atas badan Nisa tu?”

Hanisa yang terbongkok dek menahan beban itu, perlahan memandang wajah ayahnya,
“Inilah air mata ayah yang tumpah sejak Nisa tiada. Tolonglah ayah, janganlah menangis dan bersedih lagi. Hanisa tak sanggup lihat ayah sebegini…”
…………….
Siang tadi aku bertemu lagi Haji Basirun. Dia tidak lagi menangis. Mukanya amat cerah dan ceria. Misai dan janggut tidak lagi bersarang di wajahnya. Senyum pula yang kini melumuri wajahnya tiap ketika. Bersungguh dia ceritakan mimpi bertemu Hanisa. Betapa wajah Hanisa tampak jernih tanpa sebarang kotor.
“Wajahnya tidak berubah, Dani. Cuma makin berseri. Dan, aku masih ingat lagi ayat terakhir Hanisa sebelum aku terjaga. Dia kata, dia akan menunggu aku dan ibunya di syurga…”
Tanpa aku sedari, mata ku pula mula berkaca dan dada serasa sebak.

#kongsiceritakita

