KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan akan menyertai jawatankusa bebas yang akan ditubuhkan bagi memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakata itu akan mengemukakan tiga nama uuntuk mengambil bahagian dalam jawatan kuasa itu.

“Jawatankuasa itu kita sambut dan kita putuskan akan hantar wakil, tapi itu jawatankuasa bebas, bukan dari kuasa eksekutif, dan pandangan itu banyak terjurus pada pengisytiharan darurat dan bila patut dihentikan. Itu bukan penyelesaiannya.

”Empat ahli Parlimen dari kerajaan dan tiga dari pembangkang, tak sama dengan sidang parlimen. Itu hanya untuk beri nasihat yang agak khusus (kepada Agong). Tapi sebab ia satu usul dalam titah tuanku, kita buat keputusan untuk beri kerjasama,” katanya.

Pada sidang akhbar secara talian di sini, Ketua Pembangkang itu berkata, PH juga telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Kita mohon ehsan dan kebijaksanaan Agong untuk kaji semula keputusan titah baginda tentang pengisytiharan darurat. Kalau boleh dilakukan perubahan. “Yang kedua, kerana dalam darurat, Agong berkuasa untuk menitahkan supaya diadakan sidang Parlimen pada bila-bila masa.

”Maka oleh demikian, kami usulkan supaya Agong melalui ehsan dan kebijaksanaan baginda menitahkan supaya sidang parlimen diadakan dengan segera,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, penggantungan sidang Parlimen susulan pengisytiharan darurat adalah cubaan menghalang suara rakyat dibahaskan.

Kata Anwar, meskipun darurat dilaksanakan, Parlimen seharusnya berjalan seiring dengan peruntukan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau pun Darurat itu ditetapkan, masih mampu Parlimen itu berjalan seiring dan ada peruntukan dalam Perlembagaan, ini urusan Perlembagaan. Perlembagaan menetapkan Perkara 150 itu, Pengisytiharan Darurat 150 (3) membolehkan Parlimen berjalan seiring… menyegerakan beberapa langkah dikira perlu untuk keselamatan negara,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan menggantung sidang Dewan Rakyat kerana tidak berupaya mendengar hujah daripada setiap Ahli Parlimen.

“Ini kita usulkan mengapa dilarang sesi Parlimen? Ada mengatakan urusan lain boleh, kerana tidak ada keupayaan, kewibawaan pimpinan untuk mendengar, berhujah dan menjawab serta mengulas.

”Supaya mereka (kerajaan) mampu melakukan apa sahaja tanpa dipersoal, kerana kuasa darurat itu kuasa besar dan kuasa mutlak. Apa salahnya kuasa itu ada, tetapi diimbangi Parlimen supaya dapat dibahaskan,’’ katanya.

Beliau percaya jika Parlimen dapat bersidang ketika darurat, beliau menjangkakan apa sahaja proses dapat dipercepatkan terutama melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat.