5 kes bunuh yang ditulis pada status Facebook

0
41

Facebook antara salah satu medium sosial media yang popular. Bukan saja sekadar untuk mengemaskini catatan kehidupan penggunanya, tapi juga menjadi tempat pengakuan mereka yang melakukan jenayah.

Seperti 5 kes di bawah ini…

1.Kashawn Hines

Pada 18 November 2012, Lamonee Johnson-Chisholm, 13, dan seorang rakan baiknya sedang berdiri di luar sebuah kedai serbaneka di Newport News, Virginia apabila mereka berdua ditembak oleh individu tidak dikenali.

Lamonee mati di tempat kejadian manakala rakan baiknya bernasib baik kerana hanya cedera di lengan.  Pihak polis berjaya menjejaki suspek kerana sehari selepas kejadian tembakan itu, suspek menggunakan Facebook untuk menghantar mesej kepada Lamonee mengakui tidak sengaja menembaknya.

Suspek ialah Kashawn Hines yang berusia 15 tahun, dan merupakan rakan kepada mangsa. Kashawn menulis mesej berbunyi – “Aku tak tahu kau akan mati, aku tak sengaja. Aku minta maaf…”

Ibu Lamonee yang membaca mesej tersebut telah memaklumkan kepada pihak polis. Kashawn mengaku telah menembak rakannya setelah ditahan polis.

2. Samantha Stansifer

Samantha Stansifer dan kekasihnya Jim Anthony, 23, telah bersama lebih daripada tiga tahun. Hubungan mereka sering kali ditimpa masalah sehinggalah pada Jun 2015, apabila kedua-duanya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan percintaan mereka. Ketika itu, Jim masih membenarkan Samantha untuk tinggal di apartmennya memandangkan Samantha tiada tempat untuk menginap.

Malam 13 Jun, mereka menghadiri satu parti di rumah rakan apabila Samantha perasan yang Jim menerima pesanan ringkas kiriman seorang gadis. Setelah mereka meninggalkan parti tersebut dan pulang ke rumah, Jim yang keletihan terus tertidur.

Samantha pergi ke dapur mengambil pisau. Samantha yang bengang kerana menganggap Jim telah curang padanya, telah menikam Jim berkali-kali.

Selepas membunuh Jim, Samantha telah memuat naik status di laman Facebook mengakui perbuatannya itu.  Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui Samantha yang badannya dipenuhi darah. Samantha ditahan dan didakwa kerana membunuh Jim.

3.Derek Medina

Suatu pagi pada tahun 2015, rakan-rakan Facebook kepada Derek Medina dikejutkan dengan gambar isteri Derek yang berlumuran darah. Gambar tersebut dimuat naik oleh Derek menunjukkan isterinya, Jennifer Alfonso, yang meniarap dan dipenuhi darah. Derek menulis status gambar tersebut “Aku akan masuk penjara kerana membunuh isteriku, kamu semua akan lihat aku dalam berita nanti!”

Selama lima jam gambar tersebut berada di laman sosial atas alasan Derek mahu ahli keluarga mereka tahu tentang apa yang telah dilakukannya. Selepas memuat naik gambar tersebut, Derek mengaku kepada keluarganya mengenai  jenayah yang dilakukan sebelum menyerah diri kepada pihak polis.

4.Bart Heller

Bart Heller menjalin hubungan cinta dengan Erin Jehl, 19, sebelum mereka memutuskan hubungan tersebut pada Disember 2011. Beberapa hari kemudian, Erin datang semula ke rumah Bart ditemani seorang rakan untuk mengambil barang peribadinya.

Namun, mereka berdua tidak keluar dari rumah tersebut kerana Bart telah menembak kedua-duanya sehingga mati. Selepas membunuh Erin dan rakannya, Bart menulis status di Facebook yang meminta pihak polis datang ke rumahnya sebelum membunuh diri. Salah seorang rakan Bart yang tinggal berdekatan telah menelefon pihak polis dan bergegas ke tempat kejadian. Mereka menjumpai tiga mayat yang mati akibat tembakan.

5.Randy Janzen

Pada bulan Mei 2015, pihak polis di Chilliwack, Columbia menerima satu maklumat yang membawa mereka kepada pemilik Facebook bernama Randy Janzen. Beberapa status laman Facebook Randy menunjukkan dia telah melakukan beberapa perkara yang buruk sepanjang 10 hari sebelum itu.

Randy menulis kisah anak perempuannya Emily yang mengalami  migrain yang teruk sehinggakan anaknya itu menjadi murung. Sedih melihat keadaan anaknya, Randy telah menembak anak perempuannya itu di kepala supaya anaknya itu bebas daripada sakit kepala. Dia turut mengaku membunuh isterinya (ibu kepada Emily) supaya isterinya tidak tahu tentang kematian Emily. Tidak cukup dengan itu, Randy juga telah membunuh kakaknya Shelly Janzen, atas alasan tidak mahu kakaknya malu dengan perbuatannya.

Di akhir statusnya di Facebook, Randy menulis ‘Rest in peace my little family. Love daddy’. Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati rumah tersebut dalam keadaan terbakar. Api yang marak dipercayai telah meragut nyawa Randy. Polis menjumpai tiga mayat sepadan dengan apa yang diberitahu oleh Randy dalam status Facebooknya.