SEORANG pekerja pemasaran secara sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu.
Tertuduh, Muhammad Nazari Mohd Rashid, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang berjumlah RM6,000 ke dalam akaun bank miliknya bagi urusan mendapatkan kembali akaun Facebook MHO Malaysia yang digodam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat perniagaan di Jalan Tun Razak, dekat Dang Wangi di Kuala Lumpur sekitar jam 3.45 petang pada 15 April 2024.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga 20 tahun, dan sebat, dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun Peguam Amer Ashrhaf Azuddin yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya itu dibenarkan jaminan pada kadar RM2,000 memandangkan kerugian bagi kes ini hanya RM6,000.
“Tertuduh bekerja sebagai pekerja sambilan pemasaran secara atas talian dengan pendapatan yang tidak tetap, selain turut menanggung ibu, isteri serta tiga anaknya.
“Mohon jaminan dibenarkan pada kadar RM2,000. Kadar itu munasabah memandangkan kerugian dalam kes ini hanya RM6,000,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Aina Azahra kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

