SITI Nordiana dan Nubhan sudah saling kenal sejak 10 tahun lalu

PENYANYI Siti Nordiana memberitahu dia tidak berasa janggal atau sukar untuk bekerja dengan selebriti lelaki yang berstatus suami orang.

Sebaliknya, Siti Nordiana atau Nana yang berpegang kepada prinsip menjaga batas pergaulan dan sentiasa profesional sewaktu bekerja antara yang sentiasa disematkan di dalam fikirannya.

Justeru itu, gandingan terbaharu Nana dalam single duet terbaharu bersama penyanyi Nubhan menerusi lagu Sekali Lagi dilihat serasi bersama.

“Saya sudah mengenali Nubhan lebih 10 tahun dan kami sudah seperti adik-beradik. Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk bekerja dengan suami orang selagi kita pandai jaga batas.

“Isteri Nubhan pun saya kenal baik. Dia antara pengkritik utama dan penyokong kami sewaktu melakonkan mini siri Sekali Lagi.

“Kalau diikutkan gandingan saya sebelum ini pun berstatus suami orang seperti Alif Satar. Pada pendapat saya, tidak kiralah sudah berstatus suami atau isteri orang tapi yang penting karya yang kita keluarkan itu sesuai dan sedap didengar,” katanya kepada URTV.

SITI Nordiana pandai jaga batas bekerja dengan suami orang

Berkongsi mengenai pemilihan Nubhan, Nana berkata bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam itu memiliki vokal yang bersesuaian dengan lagu yang dihasilkan.

“Bagi saya, Nubhan mempunyai vokal yang sangat sesuai dengan lagu ini. Saya memang mencari penyanyi lelaki yang bersuara serak.

“Apabila saya tawarkan projek ini, dia kata okey selain mahu jadikan single duet ini sebagai kesempatan untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.

“Sebelum merakamkan lagu ini dan mencari pasangan duet, saya bagi Nubhan dengar dan minta dia nyanyi sedikit. Apabila dia nyanyi, semua cakap sesuai. Malah, apabila saya perdengarkan pada guru vokal, mereka juga bersetuju.

“Paling penting bagi saya adalah, vokal Nubhan ini unik sebab jarang ada dalam negara kita sebab itulah saya ingin ketengahkan dalam lagu ini sekaligus memberikan warna berbeza,” jelasnya.

Sekali Lagi merupakan hasil ciptaanya bersama Sepet yang sudah pun dilancarkan dan boleh ditonton di saluran Youtube Seventeen Eleven Music.