DUA permata baharu yang sedang memanjat tangga populariti dalam industri muzik tanah air, El Riss dan Fana Ibrahim, akhirnya secara rasmi melancarkan kolaborasi sulung mereka menerusi single berjudul Adat Bercinta.
Berbeza dengan lagu romantik klise, Adat Bercinta cuba menyelami sisi gelap dan realiti sebenar dalam sesebuah perhubungan.
Ia merupakan sebuah naskhah yang diterjemahkan dengan penuh kejujuran, sekali gus menjadikannya sangat dekat dengan sanubari pendengar yang pernah melalui fasa pasang surut dalam percintaan.
El Riss, yang sebelum ini mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu Lukisan dengan catatan lebih 13 juta tontonan di YouTube, menyifatkan naskhah kali ini sebagai satu penceritaan yang sangat peribadi.
Baginya, setiap bait lirik dalam lagu ini adalah cerminan kepada kematangan sebuah hubungan.
“Lagu ini dihasilkan dengan penuh kejujuran. Kita sering disogok dengan kisah cinta yang hanya indah di permukaan, tetapi Adat Bercinta mahu mendedahkan realiti sebenar bahawa hubungan itu ada turun dan naiknya.
“Saya yakin ramai yang akan melihat cermin diri mereka sendiri apabila menghayati lagu ini,” katanya.
Sementara itu, pasangannya dalam lagu ini, Fana, 18, terus membuktikan mengapa dia layak digelar sebagai bakat muda paling berpotensi ketika ini.
Selepas mempertaruhkan single Tanpa Relaku, bekas peserta program realiti itu membawa identiti uniknya sebagai penyanyi yang mahir memetik gitar ke dalam kolaborasi ini.
“Apabila dimaklumkan mengenai peluang berduet dengan El Riss, saya rasa sangat teruja.
“Walaupun kami mempunyai latar belakang muzik yang berbeza, namun perbezaan itulah yang memberi ‘rasa’ dan warna unik kepada lagu ini sebaik sahaja vokal kami digabungkan,” ulasnya.
Sementara itu, Fana turut menjawab mengenai gandingan mereka berdua seolah-olah mengembalikan zaman kegemilangan pasangan penyanyi Achik Spin dan Siti Nordiana.
Katanya, menyedari ramai peminat muzik melabelkan kolaborasi mereka itu sebagai klon Achik dan Siti Nordiana, namun dia tidak mahu terlalu larut dengan label berkenaan.
“Kami tidak meniru Achik dan Siti Nordiana. Kami jadikan mereka sebagai sumber inspirasi dalam muzik.
“Memang ramai yang cakap duet kami ini seperti Achik dan Siti Nordiana. Kami sukakan muzik mereka tapi tidaklah meniru sepenuhnya.
“Terlalu besar nak label kami seperti mereka sebab kami masih terlalu baharu dalam industri seni,” jelasnya.
Kehebatan Adat Bercinta turut disokong oleh sentuhan kreatif komposer berbakat, Achik Asrain dan Adek Soraya.
Mereka berjaya mengimbangi susunan muzik yang segar dengan naratif penceritaan yang mendalam, sekali gus menyerlahkan keserasian vokal El Riss dan Fana yang penuh penghayatan.
Secara keseluruhannya, lagu ini bukan sekadar memaparkan keindahan pertemuan, tetapi turut menyentuh aspek cabaran, kepentingan kejujuran, serta tahap kematangan yang diperlukan untuk mengekalkan sebuah ikatan.
Dengan impak emosi yang kuat serta reputasi cemerlang kedua-dua penyanyi ini di platform digital seperti TikTok, Adat Bercinta dijangka bakal menjadi lagu ‘berhantu’ seterusnya yang mendominasi carta muzik tempatan.
Para peminat kini boleh mula menyelami emosi lagu Adat Bercinta di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

