Kisah rusuhan roti 1977 yang meragut ratusan nyawa

0
125

Ingat lagi tak semasa tempoh pertama perlaksanaan PKP tahun lalu, kecoh pasal roti di seluruh tempat habis belaka. Roti antara makanan yang jadi rebutan ketika itu.

Bila sebut pasal roti, tahukah anda rusuhan roti pernah berlaku satu ketika dahulu. Kedengaran aneh, namun rusuhan roti ini telah meragut ratusan nyawa.

Kisahnya bermula sewaktu fasa revolusi kebangkitan rakyat sekitar abad ke-20. Berlaku satu siri rusuhan jalanan di Mesir yang disebabkan kenaikan harga komoditi.

Sebut sahaja tentang Mesir, umum mengetahui tanah ini mempunyai rentetan sejarah peradaban yang sangat panjang. Pelbagai empayar silih berganti menguasai kawasan ini. Antara nama-nama besar yang menaklukinya ialah Empayar Byzantine, Rom, kerajaan Khalifah dan Turki Uthmaniah.

Menjelang fasa moden, iaitu ketika mana Terusan Suez telah dibina, Mesir telah menjadi pusat perhubungan dan pengangkutan sedunia. Kerajaan Mesir pada waktu itu dipimpin oleh institusi monarki yang bersifat raja berperlembagaan.

Namun, pada pertengahan abad ke-20, golongan nasionalis telah menggulingkan institusi monarki dalam Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953. Gamal Abdel Nasser menjadi presiden pertama republik itu dan telah mencapai kemerdekaan penuh daripada United Kingdom pada 1954.

Gamal Abde Nasser, presiden pertama Mesir.

Gamal Abdel Nasser meninggal dunia pada 1970 dan telah digantikan oleh timbalannya, Anwar Sadat. Kehadiran Anwar Sadat pada awalnya dianggap sebagai hero oleh rakyat apabila dia telah melancarkan ‘Perang Yom Kippur’ dan berjaya merampas semula wilayah Semenanjung Sinai dan Bukit Golan pada 1973.

Namun, persepsi tersebut mula berubah apabila Presiden Mesir itu merubah fokusnya kepada penstrukturan ekonomi negara pada 1974. Dia ingin mengamalkan konsep ekonomi pintu terbuka, dikenali sebagai Infitah, yang akan mendorong kemasukan pelaburan asing.

Bagaimanapun, ia merupakan perubahan yang terlalu drastik untuk Mesir. Pengaruh ekonomi sebelum ini yang mengamalkan dasar ekonomi tertutup telah menyebabkan pelaburan menjadi terlalu lembap. Harga barangan komoditi menjadi tidak terkawal dan rakyat Mesir sendiri tidak dapat menerima hakikat itu.

Anwar Sadat.

Sebagai presiden baru, Sadat mula menunjukkan sikapnya yang pro Amerika Syarikat (AS) bagi membantu menarik pelaburan asing ke Mesir. Langkah itu bagaimanapun tidak disenangi oleh rakyatnya sendiri yang mana kebanyakan daripada mereka merupakan warga yang anti AS.

Konflik ini menjadi sedikit reda apabila Sadat membuat pinjaman daripada Bank Dunia untuk memberi subsidi, termasuk kepada barangan makanan. Bagaimanapun, langkah itu tidak dapat bertahan lama apabila belanjawan Mesir menjadi defisit pada tahun-tahun berikutnya.

Justeru, pada tahun 1977, Sadat mengumumkan penarikan semula subsidi berjumlah USD30 juta terhadap barangan kawalan termasuk gandum.

Keadaan itu telah menyebabkan harga barang melambung tinggi, terutamanya barangan makanan yang berasaskan komoditi gandum. Situasi itu menjadi bertambah kronik apabila Sadat turut menyatakan pembatalan bonus dan kenaikan gaji kakitangan kerajaan.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak senang di kalangan warga Mesir dan kebanyakan mereka berasa marah disebabkan harga barang yang tidak terkawal.

Kebanyakan kakitangan kerajaan dan swasta mula memenuhi jalan raya di sekitar kota-kota besar seperti Kaherah dan Kairo untuk membantah tindakan Sadat. Mereka bukan sahaja menentang liberalisasi dan kenaikan harga barang, malah turut menuntut penstrukturan ekonomi dilakukan semula.

Rakyat Mesir mula merusuh sebagai bantahan kepada tindakan Sadat.

Walaupun Sadat tampil mempertahankan tindakannya, namun bagi demonstran, itu semua hanyalah alasan untuk menjaga golongan pemodal yang telah melabur di Mesir. Penunjuk perasaan turut mengecam pemodal dan kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kelangsungan ekonomi rakyat.

Keadaan menjadi serius apabila semakin ramai rakyat memenuhi jalan raya. Bertambah parah apabila puak-puak radikal Islam turut mengambil tempat dalam mogok ini. Bahkan, segelintir radikal Islam ini dilatih oleh pegawai tentera Mesir sendiri.

Banyak kelab malam dan tempat-tempat hiburan menjadi sasaran. Para demonstran turut membakar gedung-gedung perusahaan makanan, memotong jalan kereta api serta menyekat laluan kenderaan-kenderaan perdagangan. Sampai ke satu tahap, mereka cuba menawan kem tentera, ibu sawat telefon, radio dan televisyen.

Namun, pihak pemerintah berjaya menghidu gerakan sulit itu. Pihak tentera dan polis telah dikerah untuk menjaga keselamatan dan menangkap individu-individu yang terlibat dengan gerakan sulit terbabit.

Campur tangan pihak berkuasa menyebabkan warga Mesir menjadi bertambah marah. Mereka menganggap pihak kerajaan tidak prihatin dengan kebajikan rakyat. Ketika ini jugalah rusuhan menjadi semakin bercelaru.

Kota Kairo dan Kaherah telah diisytiharkan sebagai zon darurat. Para demonstran mula bertempur dengan pihak berkuasa yang bersenjata.

Hanya dalam tempoh dua hari sahaja iaitu dari 18 hingga 19 Januari 1977,  sebanyak 800 kematian telah dicatatkan dan kebanyakan mereka yang maut adalah penduduk awam. Ekonomi di kedua-dua kota ini menjadi semakin teruk dengan kebanyakan bangunan mula musnah dibakar oleh penunjuk perasaan.

Antara artikel akhbar yang memaparkan rusuhan roti 1977 di Mesir.

Bagi menyelamatkan keadaan dan mengurangkan jumlah kematian, Presiden Anwar Sadat akhirnya akur dengan tuntutan warganya. Beliau kemudian mengumumkan penstrukturan semula ekonomi dan memiliknegarakan barangan komoditi terutamanya gandum bagi mengawal harga barang.

Pengumuman itu disambut baik oleh seluruh warga Mesir. Ahli-ahli demonstrasi termasuk puak radikal Islam bersetuju untuk melakukan gencatan senjata. Dan, Rusuhan Roti itu akhirnya terhenti begitu sahaja.

Peristiwa itu masih lagi dikenang sehingga kini. Masakan tidak, hanya dalam masa dua hari sahaja, insiden yang digelar sebagai ‘Rusuhan Roti 1977’ itu telah meragut 800 nyawa, bahkan turut mengubah struktur ekonomi negara Timur Tengah itu secara total.