Kajian seorang doktor dari Mesir, Profesor Ahmad Syauqi memberi sedikit gambaran berkaitan de javu dengan katanya, ketika kita sedang tidur, roh yang keluar daripada tubuh akan menuju ke alam roh pada masa silam atau masa hadapan. Saat roh kembali ke jasadnya, pengalaman mimpi tersebut secara tidak langsung akan tersimpan ke dalam otak. Pengalaman itu juga kadang-kadang akan berulang di dalam dunia nyata dan mempengaruhi minda sedar kita.

Manakala Syeikh Hisyam Kabbani yang merupakan tokoh sufi terkemuka pula berpendapat, deja vu boleh terjadi disebabkan jasad fizikal manusia mempunyai hubungan yang sangat erat dengan spiritual yang sudah tertulis di luh mahfuz.

Jadi, tidak mustahil deja vu boleh berlaku kerana Allah telah menceritakan imbasan perjalanan hidup kita di alam roh ketika kita berada di dalam rahim dulu. Tetapi, apa yang kita ingati mungkin cuma sedikit sahaja daripada apa yang telah disampaikan oleh Allah kepada roh kita.

Boleh jadi di alam roh, kita pernah berkomunikasi dengan roh-roh yang lain, oleh itu wajarlah jika kita tiba-tiba berasa seperti pernah berjumpa dengan seseorang sebelum ini namun tidak diketahui bila dan di mana.

De javu adalah ciptaan Allah yang sukar untuk dijelaskan oleh manusia.

Dalam pada itu pandangan lain yang terkait dengan hujah di atas pula menyatakan, sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad, ia telah ditunjukkan dengan segala kejadian alam semesta termasuklah kehidupan manusia terutama diri mereka ketika di dunia dari saat lahir hinggalah kematiannya nanti.

Pertama kali roh menangkap pelbagai peristiwa dan merakamnya menjadi ingatan. Itulah yang terjadinya dejavu.

Surah al-A’raf: 172, Allah berfirman,

“dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa (roh) mereka seraya berfirman, “bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab, “betul (Engkaulah Tuhan kami). Kami menjadi saksi (kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang yang lalai terhadap ini (keesaan Allah)”

Ketika bayi dilahirkan ke dunia, mereka semua menangis. Itu bukan tangisan kesakitan tetapi tangisan ketakutan dan khuatir dengan kehidupan dunia yang menjadikan kita lupa kejadian kita yang lalu.

Maka Allah mengingatkan agar kita selalu mengingati Nya melalui petunjuk al-Quran. Itulah pentafsiran bagi surah Maryam ayat 67,

“Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu, sedang ia tidak ada sama sekali” 

Ayat ini menggambarkan bahawa manusia dahulu diciptakan dalam bentuk yang belum wujud iaitu dalam bentuk roh.

Kaitannya disebut pula dalam surah al-Insan ayat 1,

“bukankah pernah datang kepada manusia satu waktu daripada masa (yang beredar) sedangkan dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu yang disebut-sebut?”

Dari dua ayat di atas menjelaskan bahawa kita pernah dicipta dalam bentuk roh pada ciptaan yang pertama iaitu dalam bentuk yang belum berwujud. Lalu dilahirkan kita di dunia dengan bentuk manusia akan tetapi sayangnya kita lupa tentang segala aktiviti dan pengetahuan ketika kita menjadi roh.

Perbuatan yang tidak diingati saat menjadi manusia disebut pula dalam surah Taha: 126, “Allah berfirman,

“demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami. Maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan

ada yang mengaitkan de javu sebagai ingatan kita ketika dalam bentuk roh sebelum ditiupkan ke jasad manusia.

Secara tersirat ayat ini menjelaskan bahawa proses kelahiran itu adalah proses kelupaan. Dan dengan adanya sifat lupa ini maka wajar jika manusia mengalami kejadian de javu kerana itu adalah ingatan kita dahulu dalam bentuk roh.

Apatah lagi dalam ayat 22 surah al-Hadid Allah juga turut berfirman.

“tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”

Berbeza pula dengan Profesor Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya ‘Jaddik Hayaatak’ (Perbaharuilah Hidupmu). Menurutnya,  tidak ada apa yang baharu di dalam hidup ini. Apabila dikaji tamadun manusia, semua yang terjadi sememangnya berulang-ulang. Kemajuan, kedamaian, peperangan, kemusnahan, semua yang terjadi dalam hidup manusia adalah satu putaran roda. Jadi, Ini bererti deja vu yang terjadi kepada kita adalah suatu realiti dan bukan ilusi.

Dr. Wahbah az-Zuhaili ada menyebutkan perihal de javu dari sudut hukum dalam Islam dengan katanya, ia perkara yang luar biasa berlaku kepada manusia. Sekalipun di sana ada mengatakan kajian terhadap de javu itu betul, namun untuk benar-benar berpegang pada perkara ini adalah haram.

Situasi atau keadaan yang berulang-ulang berlaku dalam minda kita adalah ibarat putaran roda. Ia adalah satu realiti bukan ilusi.

Justeru tidak perlu ia dikaji dengan lebih terperinci lagi samada berimaginasi atau benar berlaku. Baginya perkara-perkara yang ghaib biarlah hanya Allah sahaja yang tahu. Bukanlah tidak boleh mengkajinya tetapi perlu letakkan satu tembok supaya ia tidak dilangkaui sebagaimana dalam surah al-Isra di atas.

Serahkan semuanya kepada Allah. Ingatlah akan ayat 42 dari surah az-Zumar yang mana Allah s.w.t. turut mengingatkan, sesungguhnya pada perkara yang disebutkan itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berfikir.

Berfikir mengikut acuan Islam adalah yang melihat semuanya itu dari kacamata kebesaran dan kekuasaan Allah. Dengan itu akan menguatkan iman kepada Rab al-Jalil. Wallahu a’lam