Selain 12 makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. yang dinyatakan sebelum ini, Baginda s.a.w. juga menggemari makanan yang sejuk dan manis. Agak pelik bukan?

Rasulullah s.a.w. amat menyukai minum madu yang di campur dengan air sejuk . Sejuk yang dimaksudkan itu bukanlah bermakna air yang diletakkan dalam peti sejuk dan kemudiannya diminum. Tetapi Baginda akan membiarkan air tersebut selama semalaman dan meminumnya pada keesokan hari. Baginda juga mengamalkan minum air sejuk dan mencicip madu sebelum makan apa-apa di waktu pagi.

Perlakuan Baginda ini telah diriwayatkan oleh  Aisyah r.ha bahawa,

“Di antara banyak-banyak jenis minuman, Rasulullah s.a.w. suka minuman manis dan sejuk.”

Hadis ini juga bermaksud, Baginda menggemari minuman manis dan sejuk iaitu campuran madu atau rendaman buah tamar.

Namun apa yang diamalkan oleh Baginda s.a.w. merupakan salah satu cara untuk memastikan kesihatan beliau sentiasa terjaga. Manis tersebut juga merupakan manis madu asli dan bukannya campuran gula. Sebagaimana kita ketahui, dalam perubatan moden juga melarang seseorang itu mengambil pemakanan yang manis dan sejuk untuk mengelakkan penyakit.

Malah Rasulullah s.a.w. juga ada menyebut berkenaan dengan air yang sejuk ini di dalam doanya yang bermaksud,

“Ya Allah kurniakanlah aku dengan cinta Mu yang lebih besar dari cintaku kepada nyawa, harta, anak dan cintaku kepada air sejuk.”

Ini memberi isyarat bahawa sudah tentu minuman air sejuk itu mempunyai khasiat yang lebih besar.

Pastikan anda tidak makan makanan yang masih panas. Biarkan ia sejuk kerana itu lebih besar keberkatannya

Begitu juga dengan riwayat ad-Darimi yang disampaikan oleh Asma r.a, selepas beliau memasak makanan, maka ia menutupnya terlebih dahulu sehinggalah hilang kepanasannya. Dan apabila ditanya kenapa dia menutupnya, kemudian beliau berkata,

“Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya cara itu lebih besar keberkatannya.”

Selain dari itu sahabat Baginda s.a.w,  Abu Hurairah r.a juga menekankan sedemikian,

“Tidak aku menjamah sesuatu makanan itu melainkan sesudah hilang wap panasnya terlebih dahulu.”

Riwayat al-Baihaqi

Itulah cara sunnah Nabi Muhammad s.a.w. ketika Baginda hendak makan. Baginda tidak pernah menjamah makanan ketika ia masih panas. Tidak ramai di antara kita yang tahu bahawa menikmati makanan ketika suam atau disejukkan terlebih dahulu mengandungi penuh keberkatan dan diberkati di sisi Allah s.w.t.

Ini bukanlah bererti makanan yang panas tidak boleh dimakan tetapi bimbang boleh terjadi kecederaan seperti melecur lidah dan lain-lain, selain itu memakan makanan yg masih panas meluap-luap itu kurang keberkatannya.

Khasiat makanan sejuk manis

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah semuanya ada makna di sebaliknya. Cuma kadang kala kita tidak mengetahui apa yang terselindung di sebaliknya. Begitu juga dengan hidangan sejuk dan manis ini. Menurut perubatan Islam, pengambilan makanan sejuk dan manis sebagaimana Rasulullah lakukan mampu memberi kesihatan kepada kita, antaranya;


1. Menghilangkan balqham (kahak/lendir)
2. Mencuci perut
3. Membuang sisa-sisa makanan yang tertinggal di dalam perut yang tidak dicernakan dengan sempurna dan menolaknya ke usus besar
4. Menghapuskan sukatan dalam usus, menghilangkan senak perut dan sedu
5. Memperbaiki fungsi buah pinggang, limpa dan hati.