Di sesetengah kawasan di India, terdapat kepercayaan turun-temurun yang menganggap bahawa seorang balu atau wanita yang kematian suami akan membawa sial. Wanita-wanita ini akan dicemuh oleh masyarakat, disisihkan oleh ahli keluarga, dan lebih malang lagi mereka akan dihalau oleh anak-anak sendiri. Sisa hidup balu-balu ini akan dihabiskan di kota suci Vrindavan, dan hanya menunggu masa untuk mati.
Di daerah atau bandar-bandar besar seperti Bombay dan New Delhi, masalah ini tidak begitu ketara. Tetapi ia lebih kerap berlaku di daerah-daerah terpencil atau pedalaman yang mana kebanyakan daripada mereka mempunyai pegangan agama yang lebih kuat.
Golongan janda langsung tidak akan mendapat tempat di dalam masyarakat. Selepas kematian suami, kehidupan mereka seratus peratus akan berubah. Masyarakat, sanak-saudara dan ahli keluarga sendiri akan menghalau mereka kerana dikatakan membawa nasib yang malang. Tidak kira berapa usia wanita-wanita ini ketika menjadi janda, nasib malang sentiasa memburu mereka. Bahkan, bayang-bayang mereka sekalipun dianggap boleh membawa sial.

Justeru, setiap tahun beribu-ribu balu India akan berhijrah ke kota suci Vrindavan yang terletak di daerah Mathura Uttar, Pradesh. Sehinggakan, Vrindavan turut dikenali sebagai kota balu. Balu-balu ini percaya bahawa, jika mereka mati di kota suci ini, nasib malang mereka dapat dihentikan dalam kehidupan yang akan datang. Bandar ini dianggap suci oleh penganut Hindu kerana mereka percaya, Dewa Krishna menghabiskan zaman kanak-kanaknya di bandar ini.

Menurut aktivis Pusat Penyelidikan Sosial India, situasi ini berlaku bukan disebabkan oleh kepercayaan agama semata-mata, tetapi ibu tunggal ini dipinggirkan kerana tradisi secara turun-temurun. Bahkan, mereka juga dianggap sebagai bebanan oleh ahli keluarga masing-masing yang tidak sanggup untuk menampung kos kehidupan janda-janda ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, penduduk di Vrindavan telah mencecah lebih 60,000 orang, dan hampir separuh daripadanya adalah janda. Kebanyakan janda-janda ini merempat di Ashram atau kuil-kuil hindu yang terdapat di sekitar bandar tersebut.
Di sini, mereka tidak dibenarkan untuk memakai sebarang perhiasan atau pakaian yang berwarna. Status janda telah memaksa wanita-wanita malang itu untuk hanya mengenakan pakaian yang berwarna putih sahaja. Malah, lebih teruk lagi balu-balu ini telah dinafikan hak mereka untuk berkahwin semula. Dalam sehari, mereka hanya akan diberi makan sekali sahaja untuk mengalas perut.

Namun, komuniti balu yang terlalu besar telah menyebabkan kesesakan di Ashram, dan kebanyakan rumah-rumah ibadat itu tidak mampu lagi untuk menampung janda-janda tersebut kerana kekurangan dana. Justeru, ramai di kalangan balu-balu ini terpaksa hidup merempat dan bergelandangan.
Ramai antaranya hidup tidak terurus. Seribu kedutan di wajah menggambarkan betapa dalam keperitan yang terpaksa ditanggung selepas dihalau oleh sendiri. Mereka terpaksa bertungkus-lumus untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan sementara menanti kematian yang bakal menjelma.
Mereka terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi. Ada pula yang terpaksa menyanyikan lagu memuji Tuhan selama tujuh hingga lapan jam untuk mendapat upah secawan beras dan dua atau tiga Rupee sehari. Manakala segelintir janda muda akan dilanggan oleh lelaki-lelaki yang ingin memuaskan nafsu seks dan diberikan sedikit upah.

Lebih menghibakan, kematian mereka juga langsung tidak diendahkan. Kebanyakan mereka yang meninggal dunia akan dilupuskan seperti sampah. Ini kerana, kos pengurusan mayat yang terlalu tinggi dan tiada waris yang datang menuntut telah menyebabkan jasad mereka terpaksa dilakukan sebegitu rupa.
Stigma sebagai balu amat berat ditanggung oleh wanita-wanita ini. Kerajaan India turut menyedari akan hal tersebut. Justeru, bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh wanita-wanita yang kematian suami, kerajaan persekutuan India telah mengeluarkan bajet khusus bagi membela nasib-nasib balu ini dengan membina rumah-rumah perlindungan di Vrandavan.
Namun, jumlah mereka yang terlalu besar telah menyebabkan bantuan tersebut tidak mencapai sasaran selengkapnya. Pun begitu, banyak pertubuhan kemanusiaan yang turut tampil membantu golongan ini.
Apakan daya, selagi stigma bahawa janda membawa nasib malang masih kuat mempengaruhi, selagi itu bandar ini akan terus didatangi golongan balu-balu ini yang mencari tempat terakhir untuk mereka berteduh, sebelum menutup mata buat selama-lamanya.
