MATA
(Sedikit tentang Pengarang : K.T. Mohamed dilahirkan pada 1929 di Manjeri, 30 batu ke Selatan Culcatta, di dalam jajahan Kerala. Dia bekerja sebagai kerani di pejabat pos. Cerpen dan drama adalah kegemarannya. Cerpen `Mata’ ini mendapat hadiah pertama dalam peraduan cerpen dunia dalam Bahasa Malayalam yang dianjurkan oleh New York Herald Tribune dan diusahakan oleh Hindustan Times dalam tahun 1950. Cerpen ini dikutip dari buku `A Treasury of Modern Asian Stories.)

MEREKA yang punya mata ketawa bila melihat aku. Setengahnya terbahak-bahak macam apa-apa lagi. Banyak cerita-cerita lucu tentang aku yang diketahui mereka.
Tetapi aku tau : Aku tau sebab-sebab mengapa mereka ketawa macam keldai-keldai itu.
Satu sebab yang nyata ialah kerana aku juga mempunyai seorang kekasih! Apa lagi aku kahwin dengan kekasihku itu kemudiannya. Bagaimana aku berlagak sebagai kekasih dan suami itulah suatu cerita yang paling ganjil dan lucu bagi mereka. Ini menyebabkan mereka ketawa dan ketawa. Kalau saudara juga ingin mengetahui lebih lanjut tentang cerita aku yang dikatakan lucu itu, mereka akan meminta saudara melihat wajah aku terlebih dahulu. Ya! Aku sanggup berdiri di depan saudara. Apakah yang ganjil pada diriku sedangkan aku juga seorang manusia yang ingin hidup seperti mereka juga.
Aku pendek. Warna kulitku hitam macam arang. Tubuhku tak ada. Kepalaku yang besar itu tak ubah macam mahkota yang menambahkan lagi keburukan parasku. Di mukaku ada dua biji mata yang bulat: Tersorok ke dalam. Hidungku kembang. Mulutku besar macam mulut katak. Dahiku yang terletak di antara dua telinga yang lebar itu sungguh sempit. Bintik-bintik hitam bekas parut ketumbuh yang menghinggapiku waktu berusia 12 tahun dulu berselerak di kulit muka. Juga akibat jatuh waktu kanak-kanak dulu, kaki kananku tempang.
Ya! Aku sesungguhnya raja segala keburukan. Kata mereka sesiapa yang melihat aku buat pertama kali akan mengingatkan pada seekor monyet hitam. Dan ketawa mereka terbahak-bahak bila mengingatkan pula bahawa monyet hitam itu sebenarnya aku: seorang manusia.
Suatu hari sedang aku berjalan-jalan aku terdengar seorang berbisik kepada temannya, “Orang itu mengingatkan aku pada si bongkok Notre Dame.” Walau belakangku tidak bongkok, aku tidak pula cuba membantah. Apakah perlu aku menentukan dan siapa aku ini mengingatkan mereka? Begitu sekalipun ketawa mereka memberi pengajaran kepada aku.
Aku mengecutkan badanku bila melihat wanita yang berpakaian warna-warni berjalan-jalan kerana mereka memalingkan muka ke arah lain bila mememui aku. Tak ubah seperti Brahman melihat burung hantu yang dianggap sial itu. Waktu mereka tidak sanggup menyamakan aku sebagai manusia biasa dan enggan menghormati perasaan akulah, aku rasa paling terhina. Seperti saudara, aku juga tahu menikmati keindahan alam tapi perkara itu dianggap kesalahan besar bagiku. Pendek kata dunia yang maha luas ini mengumumkan bahawa manusia buruk seperti aku ini tidak boleh hidup. Ini juga aku sedar.

Bapaku mati waktu aku belum sanggup mengingat apa-apa lagi. Cuma ibuku yang tua itulah nyawaku. Siapakah yang bertanggung jawab di atas keburukan parasku ini. Bapaku? Ibuku? Tidak! Aku tidak mengutuk mereka. Aku dilahirkan. Kami cuba menghidupkan keturunan kami. Aku masih belum mati.