Pernah dengar nama TAMILOK? Jika anda penggemar makanan eksotik, anda wajib cuba hidangan aneh ini.

Apa itu Tamilok?

Ia sebenarnya merujuk kepada cacing kayu. Ia berwarna putih, bersaiz panjang, berlendir dan lembut seperti cacing. Walaupun ia nampak seperti cacing, tetapi sebenarnya tamilok bukanlah cacing. Secara biologi, makhluk aneh ini merupakan moluska, iaitu sejenis kerang laut yang banyak dijumpai di kawasan hutan paya bakau.

Tamilok, moluska yang hidup di dalam kayu.

Penduduk Palawan dan Aklan di Filipina, memanggil cacing kayu ini dengan nama ‘tamilok’ dan ia dijadikan sebagai salah satu makanan istimewa di sana.

Tamilok, secara dasarnya tidak membawa sebarang maksud atau makna dalam bahasa tempatan. Asal usul istilah itu telah diambil daripada perbualan dua orang rakyat Amerika.

Menerusi perbualan itu, salah seorang daripada pelancong tersebut terkejut apabila melihat penduduk kampung memakan cacing kayu, lalu memberitahu rakannya, “Tommy, lihat! (Tommy, look!).” Bermula daripada peristiwa itu, warga tempatan mengguna pakai istilah ‘tomilok’ sebagai merujuk kepada makanan istimewa mereka, cacing kayu. Dari situlah wujudnya nama Tamilok ini.

Seperti juga makanan eksotik lain, cacing kayu dari keluarga Terendinidae ini agak sukar ditemukan. Bagi penduduk Palawan yang tinggal berhampiran laut dan kawasan bakau, mereka mengakui untuk menjumpai makhluk yang satu ini bukanlah satu kerja mudah.

Langkah pertama untuk mendapatkannya, pemburu tamilok perlu turun ke kawasan paya bakau dan mencari kayu bakau reput, tempat di mana hidupan itu tinggal.

Apabila sudah menemukan kayu yang dicari, pemburu harus menempuh satu lagi laluan paling mencabar, iaitu membawa kayu itu naik ke daratan dengan berjalan di atas lumpur berair yang sangat licin dan melekit.

Bukan mudah untuk mencari Tamilok.

Sampai di daratan, tamilok akan segera dikeluarkan dari habitatnya. Caranya, kayu bakau reput tadi dipotong dan dibelah dua dengan menggunakan alat pemotong khas seperti kapak.

Selepas kayu dibelah, kelibat cacing aneh ini akan mula terlihat. Bagi mereka daripada jenis penggeli, melihat cacing kayu sebenar adalah tidak digalakkan kerana pemandangan itu boleh menimbulkan rasa loya.

Namun bagi warga Palawan, ia merupakan perkara biasa dan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Dan sudah semestinya, sebaik sahaja mendapat tamilok, mereka tidak akan meninggalkan satu pun cacing panjang itu dari dalam kayu yang dijumpai.

Tamilok yang hidup dalam sebatang kayu bakau buruk, berbeza-beza saiznya. Jika bernasib baik, pemburu boleh menemukan cacing bersaiz besar iaitu sekitar 91 sentimeter hingga 31 sentimeter panjang.

Warna tamilok berbeza-beza.

Dari segi warna pula selalunya tidak sama kerana ada di antara cacing tersebut berwarna putih, kecoklatan dan hitam, bergantung pada banyak mana ia memakan kayu mati.

Cara menghidangkan makanan eksotik ini cukup mudah. Basuh bersih-bersih sampai pulpa dari dalam perut hidupan itu keluar sepenuhnya. Setelah siap dibersihkan, maka barulah boleh dimakan. Dan cara memakannya, hanya ditelan secara mentah-mentah tanpa perlu dikunyah. 

Kalau berani, boleh telan Tamilok mentah-mentah.

Oh ya, nak telan tamilok memerlukan keberanian. Ini kerana, ia sangat berlendir dan berbulu. Jika tersilap langkah, cacing panjang itu boleh melekat pada tekak anda. Diingatkan supaya ada air di tangan bagi melancarkan proses menelan tamilok.

Kalau tidak berani memakannya dengan cara mentah begitu, boleh juga gunakan resipi dengan cara mencelup haiwan pelik berkenaan ke dalam cecair campuran cuka, jus lemon, hirisan bawang dan cili. Rasanya dikatakan masin, pedas, lembut dan sedap, seakan sama seperti memakan tiram mentah, tetapi lebih enak daripada itu.

Selain di Palawan, tamilok sebenarnya boleh didapati di beberapa bahagian lain di Filipina. Namun, Palawan dikatakan antara lokasi paling popular dengan hidangan cacing kayu yang sering menjadi tumpuan dari kalangan para pelancong dalam dan luar negara.

Sebenarnya, cacing laut ini tidak hanya terdapat di Filipina. Menurut ahli biologi, morfologi cacing panjang berbentuk silinder itu boleh dijumpai di bahagian-bahagian lain di dunia. Namun, haiwan ini dikenali dengan nama berbeza di mana ia kadangkala dipanggil ‘anai-anai laut’. Dalam kalangan ahli biologi pula, cacing kayu sangat terkenal dengan panggilan ‘cacing teredo’.

Berdasarkan sejarah, cacing teredo merupakan haiwan perosak kayu yang tenggelam di dalam air laut termasuk struktur jeti, cerucuk, dok dan kapal-kapal, sama seperti anak-anai.

Kehadiran cacing ini pernah menimbulkan krisis di Belanda pada abad ke-18 sehingga satu kajian terpaksa dilakukan untuk mengelak daripada serangan haiwan tersebut. Lama selepas itu, ia turut dilaporkan telah merosakkan pemasangan cerucuk air menyebabkan beberapa runtuhan kecil di sepanjang kawasan dermaga Sungai Hudson di Hoboken, New Jersey.

Namun, untuk cuba memakannya bukanlah satu kesalahan. Kerana, selain memerlukan keberanian, tiada lagi laporan menunjukkan memakan hidangan pelik ini boleh mengalami masalah kesihatan. Kalau berani, cubalah!