Dari jauh, hasil karya seni ini kelihatan biasa sahaja dan tiada yang istimewanya. Malah ia seperti lukisan lama yang menguning memaparkan gambar budak lelaki berpakaian seorang koboi yang memegang senapang ayahnya.

Namun siapa sangka hasil karya Chris Trueman yang juga seorang guru dan tutor ini memiliki tahap kreativiti yang luar biasa. Jauh berbeza dari hasil seni pelukis lain. Lukisan bertajuk Self, Potrait With Gun sebenarnya adalah gambar adik lelakinya yang dihasilkan dengan menggunakan dua ratus ribu ekor semut.  

Tidak menggunakan sebarang cat dan warna, Chris hanya menggunakan Plexi glass untuk menempatkan semut yang disusun sehingga menghasilkan imej yang mengambil masa selama hampir dua tahun.

Inilah lukisan Self, Potrait With Gun hasil karya Chris Trueman menggunakan 200,000 ekor semut.

Pun begitu, ribuan tahun yang lalu seorang lelaki punya kemampuan yang lebih luar biasa kerana dapat memahami bahasa seekor semut. Kemampuan lelaki ini diceritakan Allah dalam al-Quran surah an-Naml ayat 18 dan 19.

“Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, “wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedang mereka tidak menyedari.”

Pelik dan ajaib. Bagaimana seorang manusia mampu memahami bahasa semut? Apatah lagi mendengar bunyi suara semut yang berganda-ganda kecilnya dari manusia. Sedangkan menurut saintis dari New York University, semut berkomunikasi hanya dengan menggunakan antena di kepala yang disentuh sesama mereka. Tidakkah apa yang disebutkan dalam al-Quran itu bertentangan dengan dapatan sains?

Ya! apabila kita berbicara tentang kekuasaan Allah, tiada apa yang mustahil bagi-Nya. Dia boleh sahaja memberi dan boleh juga mengambil kembali. Lalu lelaki yang disebutkan dalam al-Quran itulah dia Nabi Sulaiman a.s. yang diberikan mukjizat untuk memahami bahasa haiwan.

Dalam kisah ini walaupun sains mengatakan semut berkomunikasi sesama mereka melalui sentuhan sesungut, namun keajaiban al-Quran mengatasi segalanya. Al-Quran membuktikan ketepatannya tatkala menyatakan semut berbicara dengan mengeluarkan suara hingga mampu didengari dan difahami oleh Nabi Sulaiman a.s.

Buktinya, berdasarkan penemuan terkini Profesor Jeremy Thomas dari University Oxford yang diterbitkan oleh Science Magazine. Menurutnya, kemajuan teknologi telah memungkinkan penemuan baru. Hal ini kerana komunikasi semut boleh dirakam secara subjektif di mana semut-semut secara rutin berbicara antara satu sama lainnya.

Semut sebahagian besar memiliki semacam papan alami dan plectrum yang terdapat dalam perut mereka. Ia yang dapat mengeluarkan suara sebagai medium untuk berkomunikasi sesama mereka.

Terbukti apa yang disebutkan Allah dalam al-Quran benar bahawa semut mengeluarkan suara saat berkomunikasi.

Dengan menggunakan mikrofon dan speaker mini yang canggih yang dapat dimasukkan ke dalam sarang semut, kami menemukan bahawa ratu semut dapat mengeluarkan intruksi kepada para pekerja mereka.

Satu analisis dilakukan dengan memasang alat rakaman suara ratu di dalam sarang semut. Hasilnya ia menarik perhatian semut-semut yang lain dan membuat mereka bersiap siaga. Semut-semut itu bergerak berdiri sambil menghulurkan sesungut ke depan dan rahang terbuka selama berjam-jam. Siapa sahaja yang asing pada mereka akan diserang.

Penemuan ini membuktikan bahawa apa yang disebutkan dalam al-Quran tentang semut adalah tepat yang mana mereka juga dapat mengeluarkan suara sehingga didengar oleh Nabi Sulaiman a.s. Justeru sebagai umat Islam, kita wajib percaya apa jua yang disebut dalam al-Quran bukanlah sia-sia dan ia tepat sama sekali.