Hidayah sampai gara-gara Ebit Lew?

0
121

Selalunya kita mendengar seseorang yang memeluk agama Islam, menerima hidayah melalui pelbagai bentuk pengalaman. Ada yang melalui proses pencarian, ada yang melalui perdebatan, ada yang melalui pemerhatian atau kaji selidik, bahkan ada juga yang melalui mimpi seperti seorang lelaki berjubah putih datang dalam mimpi, dan berbagai-bagai lagi.

Namun yang lebih menarik adalah kisah yang dikongsikan oleh Ebit Lew di facebooknya beberapa hari lalu, apabila berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Semporna Sabah memeluk agama Islam.

Di sebalik kehadirannya ke kampung tersebut semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan, rupanya tersembunyi hikmah yang amat besar, bukan sahaja kepada mereka malah untuk kita umat Islam juga.

Bertitik tolak dari pertanyaan mereka untuk mengetahui tentang siapakah tuhan dan keberadaannya, telah memungkinkan mereka mengenali tuhan yang sebenar dan yang selayaknya disembah.

Bukan sahaja suku Bajau Laut memeluk Islam malah sebelumnya tujuh sekeluarga berbangsa Cina turut memeluk Islam depan Ebit Lew

Maka inilah yang dikatakan sebagai hidayah. Lalu timbul persoalan bagaimana mengetahui hidayah telah sampai.  Perlukah menunggu seseorang individu seperti Ebit Lew barulah hidayah sampai dan memeluk Islam atau dengan cara yang lain?

Persoalan ini dijawab oleh Firdaus Wong seorang pendakwah bebas yang juga Pengasas & Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) dengan katanya, jika kita memahami secara mendalam, sebenarnya Allah s.w.t. telah memberikan serba sedikit hidayah Nya kepada manusia. Namun begitu terpulang pada kita samada untuk berusaha ke arah itu atau tidak.

Secara umumnya setiap manusia tanpa mengira muslim atau tidak, telah diberikan fitrah untuk tertarik melakukan kebaikan

Akan tetapi akibat dari tindakan kita yang seringkali melakukan kejahatan, kemaksiatan dan keburukan, maka akhirnya mereka cenderung untuk melakukan kemaksiatan. Dan seterusnya mereka akan melihat sesuatu kebaikan itu sebagai sesuatu yang berbentuk kemungkaran.

Maka dalam situasi ini bagaimana untuk mengetahui seseorang itu telah menerima hidayah?

Secara umumnya kita lihat pada hari ini, terutama di negara kita, Allah S.W.T. telah menempatkan orang-orang bukan Islam ini dengan duduk dan bergaul bersama-sama masyarakat Islam. Itu merupakan salah satu dari tanda-tanda hidayah yang diberikan.

Orang Islam tidak menyampaikan atau menyeru kepada Islam adalah tanggung jawab sendiri. Akan tetapi tanggung jawab bukan Islam adalah mencari dan bersedia menerima.

Hidayah itu perlu dicari bukan hanya menunggu sahaja. Saudara Raj (“bodyguard” bertatu berbangsa India) juga memeluk Islam di hadapan Ebit Lew

Analoginya begini, seandainya seseorang tidak mempunyai wang, adakah dia perlu menunggu sehingga wang jatuh dari langit atau keluar mencarinya?

Atau misalan lain, peluang pekerjaan sememangnya ada. Tetapi sekiranya seseorang tiada pekerjaan, adakah dia perlu menyalahkan ekonomi yang merundum hingga dia tidak bekerja.  Mungkin ekonomi memainkan peranan, namun ekonomi tidaklah seteruk untuk dijadikan alasan sehingga dia tidak mencari kerja.

Begitu juga dalam hal hidayah ini, mungkin seseorang boleh mengatakan bahawa dia tidak mendapat hidayah lagi, akan tetapi sejauhmana mereka berusaha mencari hidayah?

Tanggung jawab muslim

Perlu bagi mereka ini berusaha sedaya mungkin mencari hidayah. Dalam hal ini, orang Islam sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyampaikan mesej supaya menjadi jelas kepada mereka.

Bagaimanapun, ketika ini masih terdapat juga di kalangan orang Islam yang masih tidak berkelakuan seperti orang yang beragama Islam. Disebabkan kita telah dididik dengan agama Islam sedari kecil, maka kita lebih cenderung kepada agama Islam, dengan Allah memberikan hidayah kepada kita.

Allah memberikan hidayah disebabkan usaha kita ke arah kecenderungan pada Islam. Dan usaha serta kecenderungan kita untuk memperbaiki dan melakukan kebaikan itulah maka Allah memberikan taufik.

Apabila kita sebut berkenaan hidayah yang Allah kurniakan ini, ia bukanlah satu keistimewaan tetapi satu amanah yang dipertanggungjawabkan pada kita umat Islam. Kita telah digelar sebagai “khairu Ummati” iaitu sebaik-baik umat.

umat Islam adalah sebaik-baik umat. Tanggungjawab kita adalah menyebarkan mesej dakwah kepada belum Islam agar mereka memeluk Islam.

Dan itu merupakan tanggung jawab yang lebih berat berbanding umat terdahulu. Jadi apabila Allah memberikan hidayah kepada umat Islam, yang lahir Islam, dan yang akan memeluk Islam, di situ tertanggungnya amanah agar menyampaikan mesej yang jelas berkaitan Islam kepada bukan Islam.

Ini bersesuaian dengan tujuan Allah S.W.T. menciptakan manusia terutama Muslim sebagai khalifah.

Oleh kerana itulah menjadi tugas kita sebagai umat Islam untuk menyambung tugasan para nabi sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Anbiya: 25,

“dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya, “bahawasanya tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah olehmu sekelian akan Aku.”

Oleh itu nasihatnya, sebagai umat Islam jangan bersikap lepas tangan dengan menyatakan kita tidak layak, atau melepaskan seratus peratus tanggung jawab kepada pihak lain seperti media massa elektronik dalam menyebarkan Islam, jabatan agama, NGO-NGO, atau mencarinya di internet, sekalipun maklumat tersebut boleh didapati dengan mudah semudah di hujung jari.

Jika beginilah sikap kita dalam usaha mengajak orang bukan Islam untuk menerima Islam, dengan hanya bergantung pada media atau individu tertentu tanpa diri sendiri memainkan peranan, maka sampai bila-bila pun hidayah tidak akan dimiliki oleh bukan Islam. Andainya begitu, lebih baik Allah S.W.T. hanya menurunkan al-Quran sahaja, tanpa diutus rasul untuk membimbing manusia.