KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu lagi mulai 5 Februari hingga 18 Februari di seluruh negara kecuali Sarawak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majilis Keselamatan Negara (MKN) mendengar penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati kes Covid-19 terus meningkat di semua negeri.

‘’Sektor ekonomi akan terus dibenarkan, bagaimanapun Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diperketatkan manakala rentas negeri dan aktiviti sosial tetap dilarang’’ katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, MKN sedang mengkaji serta menimbang permohonan dan rayuan sektor-sektor perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi agar mereka boleh membuka semula perniagaan.

Tegas beliau, permohonan untuk lebih banyak sektor ekonomi dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP akan diteliti bersandarkan penilaian risiko oleh KKM.

“Ramai yang memohon, termasuk kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan salun, justeru kita tidak akan tolak begitu saja. Jika KKM berpandangan mereka boleh beroperasi, kita akan benarkan,” katanya.

Mengenai SOP, beliau berkata, , terdapat SOP yang bakal diperketatkan lagi, sebagai contoh mengehadkan jumlah orang masuk ke dalam pasar raya bagi mengelakkan berlakunya perkumpulan ramai.

‘’SOP-SOP yang lebih ketat lagi akan dikeluarkan oleh MKN,” katanya.

Ismail Sabri juga menjelaskan kegiatan rentas negeri tetap tidak dibenarkan kerana ia menyumbangkan kepada peningkatan kes Covid-19.

”Apabila kita buka rentas negeri satu ketika dulu, ia telah menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19. Terdapat 31 kluster yang berkaitan dengan rentas negeri,” katanya.