Benjy perlu bantuan rawat penyakit di penjara Indonesia – Seniman

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Pelakon Malaysia, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy yang sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah memerlukan bantuan kewangan untuk merawat penyakitnya.

Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, persatuan itu sentiasa menghubungi anak Seniwati Azean Irdawaty itu sama ada menerusi panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp.

Menurut laporan AstoAwani, Benjy amat memerlukan sokongan bukan sahaja dari segi kewangan untuk rawatan penyakitnya tetapi juga sokongan moral.

“Ramai sedia maklum yang dia (Benjy) mengalami masalah asma. Alat sedut (inhaler) yang dia perlukan kosnya agak mahal di sana.

“Sebelum ini kami pernah belikan, harganya sekitar RM300. Ubat ini tidak disediakan pihak penjara, perlu dibeli kerana jenis yang digunakan itu bukan seperti biasa,” kata Mohd Hafiz.

Benjy kini menjalani hukuman di penjara Medan Indonesia.

Menurut portal berita itu, penularan wabak COVID-19 telah menjarakkan lagi Seniman dengan pelakon itu yang kini ditahan di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

“Jadi selalunya, dalam komunikasi antara saya dan dia lebih kepada masalah kesihatan dan keperluan wang untuk menampung kos ubat-ubatannya,” katanya ketika dihubungi.

Pada Disember 2018, Presiden Seniman, Zed Zaidi pernah melawat Benjy di penjara berkenaan dan disusuli kunjungan Mohd Hafiz yang memberi sumbangan kepada pelakon terbabit pada April tahun 2019.

Mohd Hafiz pada masa sama akui khuatir akan kesihatan mental Benjy yang telah lebih tiga tahun menerima hukuman di penjara itu.

“Apa yang kami (Seniman) dengar menerusi perbualan, dari segi kesihatan mental itu boleh saya katakan dia agak tertekan.

“Penjara di sana sangat berbeza jika dibandingkan dengan fasiliti, keselesaan, cara layanan dan sebagainya di Malaysia,” ujarnya.

Mewakili Seniman, Mohd Hafiz mengalu-alukan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dilalui Benjy dan sumbangan berkenaan boleh disampaikan menerusi akaun Tabung Prihatin Seniman (CIMB: 8600499812).

Setiap sumbangan perlu diletakkan ‘Sumbangan Benjy’ dalam ruangan nota transaksi bagi memudahkan pihak Seniman menyalurkannya terus kepada Benjy.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, boleh juga menghubungi Pejabat Seniman Malaysia di talian 03-4105 5442 atau e-mel kepada [email protected]
Pada April 2017, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Benjy dituduh memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.

Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kanak-kanak maut selepas terjatuh ketika mandi di kediamannya

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air kediamannya di Taman...

More Articles Like This