Sebelum ini anda sudah maklum tentang hukum minum air yang dimasuki semut. Untuk perbincangan kali ini, kita berbicara pula tentang hukum membunuh semut dengan sengaja. Terdapat beberapa dalil dan pandangan ulama dalam hal ini.

Menurut Ibnu Abbas r.a. Baginda s.a.w. bersabda,

“Rasulullah s.a.w. melarang membunuh empat jenis binatang yang melata iaitu, semut, lebah, hud-hud (burung) dan salah satu jenis burung.” HR Abu Daud

Al-Baghawi menegaskan bahawa semut di sini bukanlah semua jenis semut tetapi semut Sulaimaniyah iaitu semut besar yang tidak membahayakan dan tidak menyerang manusia.

Semut spesis Florida Harvester Ant adalah spesis paling bahaya kerana gigitannya boleh membunuh. Jika semut ini mengancam manusia maka harus dibunuh.

Adapun semut-semut kecil yang mendatangkan bahaya atau mudarat kepada manusia ia boleh dibunuh. Namun imam Malik menghukumkan makruh membunuh semut yang tidak membahayakan.

Meskipun dibolehkan membunuh semut, tetapi sebaiknya tidak dengan cara membakarnya. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa yang berhak menyeksa dengan api hanyalah tuhan api (Allah).

Dari Abu Hurairah r.a. dari Baginda s.a.w. bersabda,

“Terdapat seorang nabi dari nabi-nabi telah singgah di bawah sebuah pohon. Kemudian Baginda telah digigit oleh seekor semut. Maka Baginda memerintahkan agar dikeluarkan semut tersebut dari bawah pohon itu lalu memerintahkan agar membakar sarang semut tersebut. Kemudian Allah mewahyukan kepada nabi tersebut, “apakah hanya kerana seekor semut (yang menggigitmu lalu kamu membakar kesemuanya)” HR Bukhari

Menurut an-Nawawi seperti yang tertulis dalam Fathul Bari, hadis ini membawa maksud dibolehkan membunuh semut bagi syariat nabi tersebut. Begitu juga boleh membunuh semut dengan menggunakan api.

Asalkan membunuh dan membakar tidak berlaku kekerasan (penyeksaan) padanya, bahkan ia di dalam hadis ini membakar lebih dari seekor semut (sarang).

Syariat kita melarang

Walaupun begitu dalam syariat kita, tidak dibolehkan membakar haiwan dengan menggunakan api melainkan dalam masalah qisas yang cukup syarat-syaratnya. Itu bersumberkan pada hadis riwayat Abdullah Ibnu Mas’ud menyatakan bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

Jangan kerana seekor semut, habis satu sarang dibakarnya. Sesungguhnya Allah melarang membunuh semut dengan api.

“Kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam satu permusafiran. Kemudian Baginda pergi untuk menunaikan hajatnya (keperluan). Kemudian kami melihat seekor burung dan dua anaknya. Lalu kami mengambil kedua anaknya dan burung tersebut datang dan mengepak-ngepak sayapnya. Kemudian Nabi datang dan bersabda, “siapakah yang menyakiti burung ini dan anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya.

Setelah itu Baginda s.a.w. melihat sebuah sarang semut yang telah kami bakar dan Baginda bersabda, “siapakah yang membakar sarang ini?” kami menjawab, “kamilah yang membakarnya.” Baginda bersabda lagi, “sesunggunya tidak layak untuk menyeksa dengan api melainkan Allah s.w.t. kerana Dia adalah penguasa api.” (HR Abu daud)

Pengertian hadis ini menurut imam al-Khitabi, makruh hukumnya membakar sarang serangga seperti semut. Di kalangan ulama kontemporari seperti Syeikh Ibnu Baz dan Dr. Wahbah Zuhaili membolehkan untuk membunuh semut dengan syarat jika semut tersebut membawa mudarat dan ancaman kepada kita.

Boleh dibunuh dengan apa cara pun asalkan tidak dengan api kerana itu bersalahan dengan hadis Baginda s.a.w. Pun begitu membunuh tanpa sebab juga adalah dilarang sama sekali berdasarkan kepada nas-nas Baginda s.a.w.

Justeru dalam kisah ini, Islam sangat menghormati haiwan walaupun ia hanyalah serangga. Dan berbuat ihsan kepada sesama makhluk adalah satu perintah dari Allah s.w.t. Perintah ini disebutkan dalam sebuah hadis dari Baginda s.a.w.

“Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlah alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan” HR Muslim

Ironinya, semut adalah makhluk ciptaan Allah. Mereka bertasbih dan mensucikan Allah sama seperti haiwan yang lain. Ini disebut dalam surah al-Isra’ ayat 44,

“…Dan tidak ada satu pun melainkan yang bertasbih dengan memuji Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka…”

 Oleh itu, sekiranya rumah sudah dipenuhi semut sehingga mendatangkan mudarat serta mengancam diri dan keluarga, hukumnya harus semut-semut tersebut dibunuh, asalkan bukan dengan api. Wallahu a’lam.