KOTA BHARU – “Berikutan berat badan berlebihan saya hanya mampu berjalan secara perlahan-lahan dengan memegang dinding di dalam rumah atau ke tandas, selain melakukan kerja rumah ringan sahaja.’’
Demikianlah keluhan Rosmarina Che Ghani yang pernah koma selama 12 hari pada tahun Disember tahun lepas selepas berat badannya mencapai 150 kilogram.
Ketika ditemui oleh wartawan di rumahnya di Peringat, Rosmarina berkata, dia mengambnil ubat-ubatan setiap hari ini kerana menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma kronik sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya kini membengkak dan sembap.
Wanita berusia 40 tahun berkata, dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bulan lepas kerana koma.
‘’Sebab itulah saya nekad mahu mengurangkan berat badan bagi menjaga kesihatan,’’ katanya.
Berikutan masalah kesihatannya, dia perlu berjumpa pakar perubatan di hospital itu tetapi terpaksa menukar tarikh atau membatalkannya kerana masalah kewangan.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan ia digunakan untuk keperluan perubatan selain kos berulang-alik setiap kali ke HUSM Kubang Kerian,” katanya.
Sebelum ini, Rosmarina berniaga secara kecil-kecilan tetapi disebabkan masalah kesihatan, dia tidak lagi berbuat demikian manakala suaminya diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.
Dia berharap mendapat bantuan kerusi roda khas elektrik dan katil beroda kerana hanya tidur di kerusi sahaja.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301441000154726 atas nama Rosmarina Che Ghani.

