KERINDUAN peminat untuk mendengar suara emas penyanyi Ayu Damit akhirnya tercapai apabila dia kini tampil dengan single berjudul Permata.

Ayu atau Norayu Damit,32, mengakui pentas Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) 2020 yang menyaksikan dirinya memenangi tempat ketiga, merupakan platform terbaik untuk dia kembali bangkit dalam dunia seni.

Sebagai permulaan, Ayu bakal tampil dengan single berjudul Permata yang dicipta dan ditulis oleh Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr. Lagu bergenre balada itu dirakam di Pro Studio, Cheras, Selangor.

Menurut Ayu, lagu yang diterbitkan oleh syarikat Saudagar Seni itu dirakam sewaktu beliau masih lagi menyertai GV7 sebelum program itu berakhir pada 13 Disember lalu.

“Saya tertarik bila tengok liriknya yang banyak maksud tersirat. Lagu ini khas untuk pasangan suami isteri. Kalau untuk saya, suami (Syed Fauzi Syed Baharuddin) yang jadi tulang belakang kepada perjuangan saya selama ini,” katanya kepada URTV.

Ayu yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu (2008) dan kali terakhir tampil dengan single pada 2016, Dari Hati, mengakui sedikit bimbang sewaktu berada di studio rakaman.

“Tak kekok sangat, cuma saya bimbang tentang pengawalan suara dekat mikrofon, itu saja. Yang lain alhamdulillah, Ayu dapat buat. Sebenarnya untung juga, rakaman dibuat sewaktu saya masih menyertai GV7 kerana ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk nada tinggi atau rendah.

“Kalau ikutkan, lepas rakaman lagu dalam studio nak buat video muzik, dah siap rancang semua tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tak boleh nak ‘shoot’ Jadi akan keluar video lirik dulu,” jelasnya.

Tambah Ayu, walaupun tak berpeluang menjalani penggambaran video muzik lagu Permata, namun video lirik tetap akan dikeluarkan dulu sebelum menunggu waktu yang sesuai untuk penggambaran.

Kata Ayu, beliau sudah merancang jalan cerita untuk video muzik tersebut, di mana dua orang model akan ditampilkan untuk berlakon sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau saya yang berlakon video muzik, nanti kaku jadinya. Biarlah saya nyanyi saja dan bagi orang lain yang berlakon. Kita dah rancang jalan cerita tapi buat masa sekarang tak boleh buat penggambaran.

“Itu yang kena keluarkan video lirik dulu. Video lirik Permata dapat ditonton di YouTube Saudagar Seni Media,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Sementara itu, menjelaskan tentang penampilan Permata, Ayu berharap, single ini dapat mengingatkan orang ramai tentang kehadirannya dalam bidang seni suara.

Katanya, salah satu sebab kenapa beliau menyertai GV7 adalah untuk kembali aktif dalam bidang seni suara tanpa menyerah kalah.

“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk saya keluar balik dalam industri bila orang dah lama tak tengok saya. Bila lepas GV dan keluarkan produk, itu satu promosi yang bagus. Sekurang-kurangnya, peminat tidak akan melupakan kita sebaik saja program itu tamat.

“Harap perkara ini berkekalan dan akan teruskan lagi perjuangan dalam bidang seni. Kalau dulu, saya fikir, kita buat lagu tapi tak keluar pun kat radio dan cepat putus asa.

“Sekarang ini, pengikut pun dah ada, saya rasa peminat pun dah nampak balik kehadiran saya dan kena teruskan perjuanganlah, tak boleh nak ‘give up’ seperti dulu,” katanya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi