Berapa kali sepatutnya beri salam?

0
84
beri salam tiga kali

Pastinya ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ramai yang berbelanja atau membeli barang keperluan menggunakan khidmat penghantar barang. Tidak kiralah sama ada Food Panda, Pos Laju, JnT atau sesiapa jua.

Dan sudah tentu kerap kali juga kedengaran suara-suara penghantar barang ini memberi salam berkali-kali yang ada ketikanya seperti nak terkeluar anak tekak, atau boleh didengar selang beberapa rumah, namun tuan rumah masih tidak kelihatan. Sama ada mereka tidak menyedarinya atau memang tiada di rumah ketika itu.

Jadi persoalannya adakah wajar memberi salam berkali-kali sehingga tuan rumah memunculkan diri  atau cukup dengan hanya beberapa kali sahaja? 

Menurut ustaz Don Daniyal Don Biyajid, adab memberi salam cukup sekadar tiga kali sahaja. Sekiranya masih tidak berjawab, maka pulanglah. Itu adab yang diajar oleh Islam. Pun begitu ujarnya lagi,

“ucapan salam itu perlulah tidak berturut-turut. Sebaliknya, selangkanlah beberapa minit sebelum ungkapan salam kedua diberikan”

 Tujuannya untuk memberi waktu kepada tuan rumah mempersiapkan diri sebelum menyambut tetamu. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam rumah. Mungkin tuan rumah sedang tidur, mandi atau sebagainya.

Oleh sebab itu berilah ruang waktu kepada mereka untuk menyambut tetamu. Lebih elok lagi jika salam yang dihulurkan berserta dengan memperkenalkan gerangan yang hadir.

Ucapan salam sebanyak tiga kali itu juga perlulah berjarak. Seeloknya dalam masa dua hingga tiga minit. Jika salam dengan jarak yang diberikan itu masih tidak mendapat balasan, harus pulang sahaja. Mungkin tuan rumah tidak ada atau tidak bersedia menerima kedatangan tetamu. 

Jangan membuka pintu tuan rumah atau memasuki rumah seseorang tanpa kebenaran

Apa pun jangan sampai membuka pintu tuan rumah atau memasuki rumah seseorang tanpa  kebenaran.  Hal tersebut amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan)”.

“Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu,“baliklah” maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” An-Nur: 27 dan 28.

Bagaimana dengan nadanya?

Menurut Don Daniyal lagi, salam pertama yang diberikan kepada tuan rumah perlu dengan nada bersahaja. Kemudiannya menegaskan sedikit suara disertakan dengan memperkenalkan diri kepada tuan rumah. Begitu juga dengan salam ketiga.

Berlainan pula jika situasi berada di luar rumah. Sebaiknya berilah salam dalam keadaan suara seperti ingin menyapa seseorang. Namun lihat juga kepada situasinya. Jika kedudukan orang tersebut dengan kita jauh maka boleh dengan nada yang sedikit tinggi.

Suara wanita bukanlah aurat selagimana tidak dilenggokkan atau menggoda.

Bagaimana pula dengan perempuan? Jelas Don Daniyal lagi, ramai yang beranggapan suara seorang perempuan adalah aurat. Tetapi perlu tahu kenapa dan bila suara seseorang itu berubah menjadi aurat dan haram.

Suara akan berubah menjadi haram untuk diperdengarkan apabila seorang wanita itu menggunakannya dengan cara yang salah seperti melenggok-lenggokkan suaranya. Hal yang demikian dikhuatiri menggoda orang lain.  

Suara bukanlah aurat, sebaliknya ia berubah menjadi dosa jika digunakan dengan berlenggok-lenggok dan secara menggoda dan ghairah, inilah yang dikatakan suara yang dilarang diperdengarkan dalam Islam.

Bagi seorang wanita, apabila ingin memberi dan menjawab salam berpada-padalah mengikut keadaan. Jangan sampai menjerit seperti orang lelaki. Cukup sekadar mimik bibir atau menggunakan bahasa  badan sebagai tanda menyambut salam seseorang sekiranya jarak jauh.

Oleh yang demikian, sekiranya datang ke rumah orang, ikutlah pertimbangan ketika memberi salam. Janganlah sehingga ungkapan salam yang diberi itu dilaungkan berkali-kali dengan nada yang tinggi sehingga mengganggu pula jiran-jiran terdekat dek kerana berang dengan tuan rumah yang masih tidak kelihatan.

Cukuplah dengan lafaz tiga kali atau ketulah pintu, jika masih tiada orang, bolehlah beransur pergi sesuai dengan perintah Allah.