Dallas Wiens, seorang pemuda dari Texas yang asalnya dilahirkan dengan cukup sifat, mempunyai wajah tampan. Sayang sekali, kurniaan itu tidak kekal lama. Paras rupanya yang kacak hilang sekelip mata dalam satu kejadian buruk yang menimpanya.

Wajah asal Dallas.

Peristiwa mengerikan yang merenggut wajahnya itu berlaku pada bulan November 2008. Pada hari kejadian, Dallas sedang mengecat dinding bangunan sebuah gereja.

Awalnya, semua berjalan lancar sehinggalah ketika sedang mengecat di aras atas, dahinya tidak sengaja tersentuh dengan kabel bervoltan tinggi. Panahan elektrik itu menyebabkan keseluruhan wajahnya terbakar dan melecur teruk.

Dallas dikejarkan ke hospital. Doktor mengambil masa kira-kira 38 jam untuk berusaha menyelamatkan nyawanya. Selepas mengharungi detik-detik cemas selama lebih dua hari, dia akhirnya berjaya diselamatkan. Akan tetapi, Dallas yang baru berusia 23 tahun ketika itu harus menerima kenyataan, wajahnya telah hilang.  

Menurut laporan perubatan, seluruh muka Dallas terbakar dan mencair teruk. Akibatnya, wajah asal beliau berubah secara total. Dia mengalami kecacatan di mana organ deria seperti hidung dan matanya ‘hilang’.

Dallas bukan sahaja buta kekal, malah turut kehilangan bibir dan kening. Dia hanya boleh bernafas melalui mulutnya yang terbuka kecil. Kesan lecur juga jelas kelihatan pada bahagian kepalanya.

Ketika itu doktor memberitahu Dallas mungkin akan lumpuh, bermula dari leher sehingga ke bahagian bawah badan. Dia juga tidak akan mampu bercakap mahupun menghasilkan air liur yang cukup untuk menjamah makanan keras. Atas sebab tersebut, doktor terpaksa meletakkan Dallas dalam keadaan koma selama tiga bulan supaya tubuh pemuda itu dapat berehat buat sementara waktu.

Keadaan wajah Dallas yang ‘lebur’ akibat insiden tersebut.

Selepas terjaga daripada koma, Dallas menunjukkan perubahan positif di luar jangkaan. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada musim bunga 2009. Apa yang mengagumkan, sekitar bulan Mei 2010, dia sudah mula berjalan.

Bukan mudah ditimpa dugaan begitu apatah lagi dalam usia yang masih muda. Hilang wajah juga boleh merenggut keyakinan. Namun bagi Dallas, dia harus berani berdepan ujian hidupnya.

Selama hampir tiga tahun hidup tanpa wajah, Dallas mendapat khabar gembira apabila dipilih sebagai penerima pemindahan wajah pertama di negaranya. Kos pembedahannya yang mencecah USD3.4 juta telah ditampung Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Pada bulan Mac 2011, satu pasukan ahli bedah yang dianggotai lebih daripada 30 orang terdiri daripada lapan orang pakar bedah, doktor dan jururawat pelbagai disiplin telah melakukan pemindahan wajah ke atas Dallas di Brigham and Women’s Hospital di Boston.

Menerusi prosedur itu, pakar bedah dengan berhati-hati mengambil wajah dan tisu dari seorang penderma lalu dibersihkan terutama bahagian yang rosak. Selepas  mengambil masa 15 jam dengan menjahit saraf, otot, tisu lembut dan kulit, Dallas akhirnya memiliki wajah baru.

Perubahan wajah Dallas dari asal, selepas tragedi dan selepas menjalani pembedahan pemindahan wajah.

Menurut doktor, walaupun penglihatan Dallas tidak dapat dipulihkan, tetapi dia sudah boleh bercakap dan mendapat semula deria bau. Dallas memerlukan lebih banyak siri pembedahan pada masa akan datang.

Dalam penampilan pertama Dallas selepas pembedahan, pemuda itu berkata dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan wajah barunya itu. Paling menggembirakan, dia bukan sahaja sudah dapat menghidu, malah mampu bernafas melalui hidung. Dan beberapa bulan kemudian, dia mula merasakan sentuhan ringan pada wajahnya.

Dallas turut menjelaskan mengapa dia sanggup menjadi orang pertama di Amerika Syarikat untuk menjalani pemindahan muka. Menurut bapa kepada seorang anak ini, dia mahu tersenyum lagi dan merasakan ciuman daripada anak perempuannya yang ketika itu berusia empat tahun. Bagi Dallas, anak perempuannya ialah pencetus semangat dan motivasi untuk dia menjalani pembedahan muka.

Dallas bersama anak perempuannya.

Di sebalik itu, kejayaan pemindahan wajah Dallas ini telah membuka lebih banyak peluang sedemikian untuk mereka yang mengalami masalah yang sama.

Sejak kejayaan Dallas yang mendapat wajah baru, sudah banyak pembedahan pemindahan wajah dilakukan bukan hanya di Amerika Syarikat sahaja, tetapi di seluruh dunia termasuk Perancis, China dan Sepanyol.

Wajah Dallas selepas beberapa tahun menjelani beberapa siri pembedahan. Di sebelah adalah isterinya.

_________________________________________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.