Siri sebelum ini kita telah membahaskan tentang jenis-jenis saka dan bagaimana ia diwarisi oleh seseorang. Untuk siri ini Dr. Jamaluddin mengingatkan supaya jangan tertipu dengan baiknya saka.
Ujarnya lagi secara berseloroh, “Kalaulah saya jumpa orang yang kata saka itu ada juga baiknya, memang saya ketuk kepala orang itu!”
Jawapannya kedengaran seperti satu gurauan namun ia ada maksud yang mendalam.
Jelasnya, saka itu tidak ada pun setitik kebaikan. Ya! memang benar ada jin Islam dan ada jin kafir, tetapi kita pastikah jin saka itu Islam. Setahunya, jin Islam mengabdikan diri kepada Allah dan tidak kepada manusia. Jin kafir ini terpengaruh dengan ajaran syaitan dan mengabdikan dirinya pada yang selain Allah.
Sebaliknya, ramai yang tertipu dengan baiknya saka yang berpura-pura menyuruh pada kebaikan. Semua itu hanya penyamaran belaka! Dari itu janganlah terpengaruh dengan hadirnya mimpi diperturunkan ilmu untuk mengubat dengan ayat al-Quran. Kerana, mimpi itu ada tiga kategori iaitu mimpi petunjuk daripada Allah, mimpi amaran daripada syaitan dan mimpi terbawa-bawa dari fikiran kita.

Ketahuilah bahawa mimpi yang dibawa oleh saka adalah mimpi yang kedua iaitu amaran dari syaitan. Biasanya orang yang memiliki saka akan sering bermimpi didatangi orang berjubah, mengaku wali, tok guru, mendapat amalan dari ayat al-Quran, diberi keris dan segala benda. Itulah tipu daya saka.
Bagi yang menyukai perkara sedemikian akan mempercayainya ia datang daripada wali Allah. Namun kebenarannya, ia adalah daripada saka atau syaitan. Memang secara luarannya ia nampak membawa atau mengajak kita untuk melakukan perkara yang baik. Namun secara halusnya menyesatkan.
Perwarisan saka itu juga boleh dalam bentuk barangan misalnya keris, lembing, pakaian, barang kemas dan peralatan. Tegas Dr. Jamaluddin, bukan saja barang kemas lama yang boleh membawa saka sebenarnya barang kemas baru pun boleh diturunkan saka.
Katakanlah saya ada saka, kemudian saya pakai jam, jadi saka itu akan menjaga semua barang saya termasuk jam yang dipakai, rumah dan harta benda yang lain. Bila saya meninggal, saka yang ditugaskan untuk menjaga jam itu akan mengikut ke mana saja jam itu diserahkan kepada waris sebagai harta pusaka. Saka itu boleh mengikut waris yang seterusnya jika ia disimpan bersama keris, pakaian, kain pelekat dan wafaq.
Tipu helah saka
“Namun jangan mudah tertipu! Jangan suka sangat hingga anda mengira terbebas dari saka sedangkan adik-beradik yang lain semuanya bermimpi menerima saka. Sebenarnya orang yang tidak bermimpi pun boleh mendapat saka kerana sebagaimana yang dijelaskan pada awal tadi bahawa saka itu boleh diwarisi kepada keturunan seterusnya daripada genetik.
“Saka akan bermaharajalela kepada mereka yang lemah dan mempercayai hal-hal yang bersangkut dengan saka itu. Pun begitu, mereka yang tidak percaya juga akan mendapat bahagian saka yang sama.

Biasanya orang yang mimpi itu adalah orang yang dominan iaitu yang dipilih oleh saka atau boleh dipengaruhi. Bagi waris yang tidak boleh dipengaruhi dan tidak percaya, saka juga boleh hadir di dalam bentuk penyakit, emosi negatif, gangguan mental dan gila isim,” ujarnya.
Malah ada yang mengatakan, bukankah saka itu akan terhenti hingga keturunan yang ke tujuh?
Dengan sinis Dr. Jamaluddin menjawab, jangan haraplah saka akan pergi semudah itu. Dan, jangan mimpilah bahawa kenyataan itu betul kerana saka akan diwarisi hingga hari kiamat. Itulah tipu helah saka.
Seperkara lagi yang harus diingat bahawa, jin akan merasa bangga apabila dapat berkhidmat dengan manusia. Jin itu dikategorikan sebagai jin ‘high class’. Lantaran itulah jin berlumba-lumba untuk menjadi khadam.
Makanya, sekali ia telah berada di dalam badan manusia, ia tidak akan sewenang-wenang meninggalkannya. Malah akan membawa semua keturunannya untuk berkhidmat dengan manusia.
Bersambung…
____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

