Wajahmu seindah akhlakmu, itulah dia kekasih Allah S.W.T. Seorang nabi terakhir dan Rasul utusan Allah yang membawa sinar cahaya menerangi kegelapan manusia. Akhlakmu dijamin Allah dengan firman Nya,
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang-orang yang mengharap rahmat Allah, dan kedatangan hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” al-Ahzab: 21
Siapa yang tidak mengenali susuk tubuh Muhammad bin Abdullah. Segala yang indah ada padanya. Bentuk fizikalnya memukau pandangan mata sesiapa sahaja. Malah seorang penyair Farsi telah mengungkapkan di dalam syairnya bahawa,
“semua ketampanan dan keindahan yang dimiliki oleh pelbagai nabi dan rasul terdahulu, adalah terzahir pada rasul yang terakhir. Wajahnya bak bulan purnama yang memancarkan cahaya di waktu malam gelita.”
Syair ini diperkuat pula dengan perakuan Jabir r.a. iaitu salah seorang sahabat Baginda s.a.w. dengan katanya,
“Pernah sekali ketika bulan bersinar di waktu malam yang pekat, aku telah membandingkan wajah mulia Baginda dengan bulan tersebut. Aku dapati wajah Baginda lebih indah, cantik dan bersinar daripada sinaran bulan.”
Begitulah perumpamaan indahnya bentuk fizikal yang ada pada Baginda s.a.w. Bukan sahaja tubuh, tetapi akhlaknya begitu cukup sempurna. Berkata ummul mukminin Aisyah r.ha saat ditanya oleh Hisyam bin Amir tentang akhlak Baginda. Menurut Aisyah,

“akhlak yang ada pada Baginda adalah akhlak al-Quran.” HR Muslim
Bukan itu sahaja, bahkan di dalam al-Quran, Allah S.W.T. turut mengungkap tentang tubuh badan serta akhlak perilaku Baginda s.a.w. antaranya,
“Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya” An-Najm: 11
Itulah gambaran sebenar siapakah Baginda s.a.w. Beliau seorang yang jujur dalam berkata-kata, tidak pernah berdusta malah sentiasa mengungkapkan kebenaran walau pahit untuk ditelan.
Dengan akhlak mulia seperti inilah maka Baginda telah menjadi suri teladan yang baik serta mengajar dan memberi amaran kepada manusia untuk beriman kepada Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan Nya. Firman Allah dalam as-Syuara’: 194
“Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia)”
Segala ajaran, dan apa yang terkandung dalam syariat Islam bukanlah datang dengan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, akan tetapi Baginda s.a.w. telah dibimbing Allah melalui setiap wahyu-wahyu yang turun kepadanya.
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri” An-Najm: 3
Oleh itu sebagai seorang Muslim, wajib kita beriman kepada Baginda s.a.w kerana ia termasuk dalam rukun iman yang wajib diikuti. Apa yang dikatakan dengan beriman, bukan sahaja mengakui kebenaran yang dibawa oleh Baginda, tetapi mestilah melaksanakan setiap apa yang disuruh, kerana itu merupakan sunnah.
Bersabda Baginda s.a.w.
“barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukan dari kalangan umatku”
HR Ahmad bin Hambal
Hadis ini telah dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah ali-Imran: 31,
“katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Mengikut segala sunnah nabi adalah perkara yang sangat dituntut. Apatah lagi, sebagai seorang yang mengaku cinta kepada Baginda s.a.w. Oleh itu sesiapa yang tidak mengikut kepada sunah, maka dia tidak akan tergolong dalam kalangan umat Muhammmad s.a.w. Maka perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan besar Baginda s.a.w.
_____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

