TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Datuk Ir. Baharin Din.
Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula esok (21 Februari) disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada Khamis (26 Februari). Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.
“Perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin,” kata Baharin.
Beliau berkata, TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.
“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenalpasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU).
BERITA BERKAITAN Vaksin COVID-19 tiba di Malaysia Ahad ini, suntikan bermula 26 Feb – Muhyiddin
“Bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.
“TNB juga melakukan sesi keterlibatan (engagement) dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan,” tambah Baharin.
Selain itu, pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin.
TNB turut telah menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.
Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor-kontrakor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

