Najib, Zahid berehatlah, bersihkan nama di mahkamah dulu

Dari Penulis


Saudara Pengarang,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada pemimpin dan ahli UMNO yang mungkin akan tersinggung dengan luahan saya ini, tetapi saya juga ahli UMNO yang setia sejak 33 tahun lalu.

Apa yang saya luahkan adalah demi rasa sayang kepada parti keramat orang Melayu ini, walaupun saya bersyukur apabila Allah SWT mentakdirkan UMNO kembali dalam kerajaan biarpun sekadar berkongsi kuasa, tetapi ia tidak mampu menahan gejolak perasaan saya melihat apa yang berlaku dalam UMNO sekarang.

Maafkan saya, kalau saya katakan UMNO sekarang seperti kelam kabut, tak ada arah tuju, tak tahu siapa sebenar kami nak ikut. Bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah ‘berlumba-lumba’mahu menonjolkan diri siapa paling popular. Tiada salahnya untuk bersikap begitu kerana ia mungkin dapat membantu UMNO dalam PRU nanti.

Tetapi bila fikirkan balik kes mahkamah yang sedang mereka hadapi, maafkan saya, mereka sepatutnya berehat daripada menguruskan atau menjalankan kerja-kerja parti. Saya tidak katakan mereka sudah bersalah walaupun kes Datuk Seri Najib kini di peringkat rayuan.

Biarlah proses mahkamah yang lengkap menentukan mereka bersalah atau tidak. Bagaimanapun kehadiran mereka dalam program parti atau bercakap atas nama parti menyebabkan kami di peringkat akar umbi gembira tetapi gelisah. Gembira kerana kedua-dua mereka begitu lantang mengkritik kerajaan dalam memperjuangkan isu rakyat.

Namun kami rasa sedih dan gelisah bila UMNO dituduh dianggotai oleh penyangak, penyamun. Kami tahu serangan itu ditujukan kepada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid. Kami juga bimbang bila dalam kalangan rakyat yang tidak berparti pun sudah mula bersembang soal integriti dan mahupun pemimpin yang bersih.

Oleh itu saya dengan rasa rendah diri meminta kedua-dua pemimpin itu berehatlah daripada terlibat dengan apa juga aktiviti dan agenda parti sekurang-kurangnya sehingga selepas PRU-15 atau lebih baik lagi sehingga kes mereka selesai di mahkamah.

Ada ramai lagi pemimpin UMNO yang tidak terpalit dengan apa-apa skandal boleh menguruskan parti. Saya bimbang sekarang inipun orang sudah mendakwa Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid gunakan kedudukan dalam UMNO untuk ‘lepas leher’ masing-masing sahaja sebab itu beria-ia menonjol diri.

Saya percaya perkara ini tidak betul sebab kedua-dua pemimpin yang saya sanjung ini berkali-kali beritahu mereka tidak mahu kes digugurkan dan mereka mahu bersihkan nama di mahkamah.

Tetapi saya minta Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid berehat sebab biarlah UMNO masuk ke gelanggang PRU-15 dengan barisan pemimpin yang tidak ada apa-apa rekod terutamanya integriti. PRU-15 penting untuk UMNO, parti kena menang untuk berkuasa semula, tetapi kalau pemimpin yang ‘dilihat tidak bersih’ turut serta, usaha itu akan terbantut.

Justeru itu, kalau betullah Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid sayangkan parti, tolonglah berehat. Nanti apabila kes sudah selesai, namapun sudah dibersihkan kembalilah berjuang bersama UMNO. Inshaallah kami sambut Datuk Seri berdua dengan penuh meriah di PWTC.

Lagipun Datuk Seri berduapun selalu berpesan kepada kami, letakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan individu, jadi saya harap Datuk Seri berdua buktikanlah kata-kata itu bukan retorik.

Sekali lagi saya mohon maaf meluahkan perkara ini, sesungguhnya tidak ada sekelumitpun perasaan tidak menghargai segala jasa Datuk Seri berdua kepada negara dan parti.

Saya hanya bimbang masa depan parti yang saya sayangi ini. Saya risau disebabkan ‘rekod’ Datuk Seri berdua, ia dijadikan modal oleh pembangkang untuk menyerang UMNO akibatnya UMNO tidak mampu bangkit semula.

Akhir kata saya doakan Datuk Seri berdua berjaya dalam kes masing-masing, inshaallah kami akan masuk ke gelanggang pilihan raya dengan penuh semangat kerana tahu ‘tiada apa lagi beban’ yang perlu difikirkan.

MUHAMMAD AL-TARIQ,
Alor Setar,
Kedah


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tentera Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama hadapi ancaman baharu

SERAMAI 719 anggota keselamatan dan agensi berkaitan dari Malaysia serta Indonesia menyertai Latihan Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia Darat Samudera Angkasa...

More Articles Like This