Sokushinbutsu : Amalan aneh rahib yang memumiakan diri sendiri

0
300

Di bahagian utara negara Jepun, pernah wujud satu tradisi aneh yang diberi nama Sokushinbutsu iaitu ritual memumiakan diri sendiri. Ia dilakukan atas dasar tuntutan kerohanian, yang memerlukan seseorang individu bergelut dengan kematian dalam jangka masa bertahun-tahun lamanya.

Amalan aneh ini berlaku di wilayah Yamagita, Jepun sekitar tahun 1800-an, yang dilakukan golongan sami atau rahib. Bagaimanapun, amalan ini tidak disokong dan dianggap sesat oleh sebahagian besar penduduk di seluruh dunia.

Menurut pakar antropologi dari Amerika Syarikat yang banyak membuat kajian tentang kebudayaan Jepun, Ken Jeremiah, Sokushinbutsu merupakan satu ritual agama yang rumit dan memerlukan jangka masa yang agak panjang. Katanya, seorang rahib atau sami yang berhasrat memumiakan diri mereka sendiri perlu melalui tiga fasa untuk menjadi mumia yang sempurna, yang mana proses keseluruhannya memakan masa lebih daripada 10 tahun.

Amalan Sokushinbutsu di kuil sekitar utara Jepun.

Fasa pertama, rahib tersebut perlu berdiet dengan hanya mengambil kekacang dan biji-bijian sebagai sumber makanan mereka. Proses ini dilakukan untuk tempoh 1000 hari dan dalam jangka waktu tersebut, mereka juga perlu melalui rutin senaman fizikal yang berat. Tujuannya untuk membuang lemak dan sebahagian isi yang mudah terurai selepas mereka mati.

Pada fasa kedua, diet menjadi lebih terhad. Mereka hanya dibenarkan untuk menjamah kulit kayu serta akar dari pohon pinus dalam jumlah yang kecil. Tahap ini akan berlangsung selama 1000 hari, yang mana akan menyebabkan rahib-rahib itu kelihatan seperti rangka hidup kerana terlalu kurus. Proses ini dilakukan untuk mengurangkan kadar air di dalam tubuh supaya mudah merealisasikan impian mereka untuk menjadi mumia.

Pada hujung tempoh fasa kedua tersebut, mereka akan diberi minum teh khusus yang diperbuat daripada getah pohon Urushi. Getah ini sangat beracun, sehingga menyebabkan rahib tersebut muntah-muntah, berpeluh dan kerap membuang air.

Getah dari pohon Urushi yang beracun.

Keadaan ini sedikit demi sedikit akan menghilangkan cecair yang masih berbaki di dalam tubuh mereka, dan menyebabkan ia berada pada tahap yang paling minimum. Namun, apa yang lebih penting ialah pembentukan racun di dalam tubuh, yang akan menyebabkan tubuh mereka tidak busuk dan terurai selepas kematian.

Fasa terakhir, mereka akan ditanam hidup-hidup di dalam sebuah kubur batu yang sempit. Kubur batu itu akan disimen untuk menghalang cahaya masuk ke dalamnya. Rahib-rahib itu akan duduk dengan cara bertapa iaitu gaya teratai, serta tidak makan dan minum untuk tempoh 1000 hari berikutnya.

Mumia rahib dari tradisi Sokushinbutsu.

Di dalam kubur itu akan dibuat satu lubang kecil untuk aliran keluar masuk udara, serta disediakan satu loceng khas sebagai perantara dengan dunia luar.

Setiap hari, mereka akan membunyikan loceng supaya orang luar tahu yang mereka masih hidup. Apabila loceng berhenti berbunyi, itu bermakna orang di dalamnya juga sudah berhenti bernafas.

Selepas itu, kuburan tersebut akan disimen sepenuhnya. Setelah lengkap 1000 hari, kubur itu akan dibuka semula untuk melihat keadaan mumia yang dihasilkan itu.

Sekiranya ia lengkap sebagai mumia, mereka percaya bahawa individu itu telah diangkat tarafnya. Jika tidak sekalipun, mereka tetap akan dikenang dan dihormati kerana memiliki keberanian dan semangat yang kental.

Namun, bukan semua orang yang mati dengan cara begini mampu mengawet diri mereka sendiri. Kebanyakannya hanya menjadi mayat reput begitu sahaja.

Dalam tradisi ‘Sokushinbutsu’ ini, teh beracun yang dihasilkan dari getah pohon urushi mengandungi racun arsenik. Justeru, proses penguraian mayat memakan masa yang agak lama. Selain racun arsenik, antara bahan kimia lain yang turut menyebabkan perkara sama berlaku ialah kandungan nikotin di dalam tubuh.

Lebih 20 mumia Sokushinbutsu telah ditemui di sebuah kuil terpencil di kawasan pergunungan wilayah Yamagata, Jepun. Amalan ini dipercayai diasaskan oleh seorang rahib bernama Kuukai, yang mana beliau sendiri adalah orang pertama yang melakukan ritual ‘Sokushinbutsu’.

Bagaimanapun, ritual ini telah diharamkan sekitar tahun 1870-an kerana disifatkan sebagai suatu amalan yang kejam.