Adab-adab ke kubur

0
72
adab-adab ke kubur

Adab-adab ke kubur. Tidak salah menjejakkan kaki ke tanah kubur sebagai tanda peringatan kepada yang tersayang, tetapi masyarakat hari ini semakin jauh dengan adab yang perlu mereka hormati ketika di kubur. Adab tersebut perlu dihormati bagi mendapatkan barakah kepada penziarah dan juga mereka yang diziarah.

Asal kita dibuatnya adalah dari tanah, dan apabila mati disitulah kita ditanam bersama tanah. Percayalah kita semua akan melaluinya apabila sudah sampai waktunya. Sebagaimana hadis riwayat Muslim yang berbunyi:

“Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari orang-orang mukmin dan muslim, dan sesungguhnya kami InsyaAllah akan menyusul kalian (Semoga Allah merahmati orang yang mendahului di antara kita dan mereka yang menyusul kemudian). Aku memohon kepada Allah untuk kami dan kalian keselamatan”.

Menziarah kubur pastinya dengan tujuan ingin mengingati si mati serta membacakan doa buat mereka yang telah pergi sebagai hadiah kepada mereka di alam sana.

Islam sebagai agama yang syumul tidak meninggalkan sesuatu amalan atau perkara melainkan ia membimbing kita kepada apa yang bermanfaat dan menjauhkan kita dari apa yang memudaratkan. Islam telah memberikan sejumlah adab yang perlu kita ikuti iaitu:

  • Memberi Salam

Berilah salam sewaktu memasuki kawasan perkuburan kerana hukumnya sunat. Sabda Baginda s.a.w.

mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan kepada kamu sekalian wahai penghuni-penghuni kubur daripada kalangan orang mukmin. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang telah mendahului kami dan orang yang kemudian. Sesungguhnya insya Allah kami akan menyusulmu kemudian” HR Muslim

  • Menutup aurat

Sebagai umat Islam, menutup aurat adalah satu kewajipan. Menutup aurat sering kali disalah ertikan oleh sesetengah masyarakat Islam. Mereka menganggap menutup aurat hanya sekadar dengan memakai tudung dan menutupi kepala terutama apabila menziarah ke kubur. Sedangkan aurat bukan hanya anggota kepala malah anggota lain juga merupakan aurat yang perlu ditutup.

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah S.W.T. dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasulnya.

Sesungguhnya Allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai “Ahlu Bait”, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

  • Menjaga akhlak

Daripada Ali r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat” HR Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad

Maka jelaslah bahawa amalan menziarahi kubur adalah suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ia dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan.

Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah seperti bergurau senda dan bergelak ketawa. Apabila perlakuan buruk seperti ini tidak dijaga sudah pasti tujuan sebenar untuk mengingati mati tidak tercapai.

Sentiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunah Rasulullah ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Tuhan.

  • Tidak meratapi, meraung atau merayu kepada si mati

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seolah-olah tidak meredai takdir Allah adalah perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Jangan meratap dan meraung kepada si mati

“Daripada Abdullah katanya, bersabda Nabi s.a.w: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul pipi, mengoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Lebih baik sekiranya dihadiahkan bacaan ayat al-Quran dan Yaasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah S.W.T. mengurniakan rahmat kepada kedua-dua pihak daripada membuang masa meratapi dan meraung kehilangan orang tersayang.

  • Tidak membuang hajat di perkuburan.

Rasulullah s.a.w bersabda dan diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud:

“Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya)

Kubur ibarat rumah baru bagi mereka yang telah dipanggil oleh Allah S.W.T. Sebagaimana kita menjaga kebersihan rumah sendiri, begitu juga mereka mengharapkan tempat persemadian mereka sentiasa bersih dan dipelihara. Sedangkan membuang hajat itu sudah pasti merupakan najis. Jangan sesekali mencemarkan kawasan kubur dengan buangan hajat kita.

  • Tidak bercakap dengan perkataan yang batil

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah s.a.w bersabda:

Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.”

Ucapkanlah doa untuk si mati agar dipermudahkan segala urusannya

Perkataan keji dan batil terdiri dari tiga jenis seperti berbicara mengenai hal-hal duniawi. Hal ini akan menjauhkan penziarah dari tujuan ziarah. Manakala mencela, mengkritik dan menyebut aib jenazah yang dikebumikan di perkuburan juga merupakan sesuatu yang ditegah dalam Islam.

Manakala mengucapkan doa kepada jenazah seolah-olah meminta hajat dan perlindungan dengan harapan jenazah dapat memakbulkan doanya atau jenazah memberi pengaruh kepada Allah S.W.T. agar Allah memakbulkan doanya. Ini menzalimi Allah S.W.T. kerana doa adalah hak Allah, kepada Allah jua kita memanjatkan doa dan kepada Allah jua kita mengharapkan ia dikabulkan.

____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram