Proton jual 11,873 kereta, capai pegangan pasaran tertinggi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PROTON Holdings Berhad mengumumkan berjaya mencatatkan jualan sebanyak 11,873 unit kenderaan untuk pasaran tempatan dan eksport bagi bulan Februari sekali gus meningkatkan pegangan pasaran berjumlah 27.1 peratus.

Jumlah jualan yang dicatatkan itu adalah paling tinggi bagi bulan Februari sejak lebih 10 tahun lalu manakala pegangan pasaran di paras tertinggi semenjak September 2013.

Secara keseluruhan, Proton mengakhiri bulan Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari.

Menurut Proton, berbanding bulan sama pada tahun 2020 pula, jumlah jualan turut meningkat sebanyak 19.9 peratus manakala jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 bagaimanapun kurang 643 unit atau 3.5 peratus berbanding tahun lalu.

Syarikat pengeluar kereta nasional itu berkata, jumlah penghantaran Proton X50 telah meningkat bulan lalu dengan sebanyak 3,345 unit dihantar sekali gus menjadikan 8,141 unit kini berada di tangan pembeli.

Katanya, pencapaian tersebut menjadikan X50 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris dalam segmennya dan secara keseluruhan.

“Namun begitu, model paling laris tetap Saga dengan sebanyak 4,217 unit telah dijual dan model sedan segmen A itu tetap menarik perhatian pembeli dengan kombinasi ciri praktial, rupa bentuk menarik dan kadar nilai wang yang tinggi.

“Model Proton lain juga menunjukkan prestasi tinggi dengan gelaran sedan segmen-B terlaris berjaya disandang oleh Persona setelah 1,818 unit dijual mengalahkan saingan model-model lebih baru manakala Exora kekal di tangga teratas bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C dan Iriz tempat ketiga bagi hatchback segmen-B,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Proton juga melancarkan empat model edisi istimewa bulan ini dengan Persona dan Exora Black Edition serta Saga dan R3 edisi terhad akan dibina secara terhad dilancarkan secara dalam talian 18 Februari lalu.

Hanya 3,500 unit akan ditawarkan ke pasaran dan setakat 26 Februari, sebanyak 1,169 tempahan telah diterima sekali gus menunjukkan tahap minat tinggi dalam kalangan pembeli.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Februari disifatkan sebagai bulan penuh mencabar bagi industri automotif tetapi memberi keputusan cemerlang bagi Proton.

“Atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat berjaya menghasilkan lebih kenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan kami.

“Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan ke pembeli secara konsisten untuk mengelakkan keadaan huru-hara apabila insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berakhir 30 Jun ini.

“Segmen automotif akan terus menarik perhatian pembeli pada 2021 dengan banyak pelancaran baharu daripada pelbagai jenama sekali gus mendorong saingan antara Proton dan syarikat lain tetapi kami akan terus bersikap berhati-hati dalam semua usaha kami mengelakkan kadar jangkitan meningkat semula,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kanak-kanak maut terjatuh lepas keluar dari kolam di taman tema air

SEORANG kanak-kanak maut dipercayai terjatuh selepas keluar dari kawasan kolam dalam kejadian di sebuah taman tema air di Sungai...

More Articles Like This