KEPUTUSAN kerajaan memberi kebenaran merentas daerah kecuali di Sabah mulai Jumaat ini disifatkan sebagai berita yang amat memotivasikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya untuk kembali beroperasi.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (gambar), penggiat industri tersebut telah mengemukakan kebimbangan mereka kepada pihak Kementerian sebelum ini sekiranya sekatan terhadap pergerakan rentas daerah dan negeri masih diteruskan.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengadakan empat sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penggiat industri.
Menerusi libat urus tersebut, Nancy memberitahu, rata-rata penggiat industri mahukan kerajaan membenarkan semula pergerakan atau perjalanan antara daerah atau negeri.
“Dengan adanya pengumuman terbaharu ini, ia merupakan satu daripada inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menyampaikan pandangan penggiat industri kepada kerajaan yang mana usaha ini akhirnya didengari.
“Pada masa sama, semua pihak perlu menghargai keputusan ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Keputusan ini juga membuka ruang dan peluang orang ramai melancong dan menjalankan operasi perniagaan sepenuhnya di samping menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Baca artikel berkaitan: Empat negeri PKP ditukar ke PKPB, rentas daerah dibenarkan
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah di semua negeri seluruh negara kecuali Sabah mulai 5 Mac ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, pergerakan merentas negeri masih tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, Nancy berkata, sesi libat urus terbaharu yang dilaksanakan semalam turut membincangkan beberapa isu termasuk kebenaran aktiviti operasi bazar ramadan dan pembukaan panggung wayang dalam premis kompleks beli-belah dengan mematuhi SOP ditetapkan MKN.
Beliau berkata, keutamaan pemberian vaksin kepada penggiat industri dalam sektor pelancongan juga antara yang dibincangkan memandangkan mereka menerima kunjungan tetamu dan pelanggan di premis masing-masing.
“Kerajaan juga disarankan agar mengeluarkan dokumen atau pasport khas kepada warganegara yang telah menerima vaksin untuk memudahkan pergerakan dalam negeri dan menjalankan aktiviti sosial termasuk melancong dengan selamat,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

