suhaimi saad

BEKAS anggota kumpulan nasyid Inteam, Suhaimi Saad tetap dengan prinsipnya untuk menolak vaksin Covid-19 walaupun disarankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi satu entri di Instagram, niatnya itu bukanlah mahu mengecam ulama atau mufti mengenai saranan yang membenarkan vaksin itu turut diambil oleh umat Islam.

Namun, katanya, apa sahaja pandangan yang berkaitan dengan vaksin, ia tidak akan sesekali membuatkan dia berubah fikiran untuk mengambilnya.

“Aku tak kecam ulama atau mufti…tak juga berniat menghasut sesiapa.

“Apa pun hujah orang, itu tidak akan semudahnya mengubah pendirian aku. Ini sebab aku pun ambil dalil daripada Al-Quran.

“Dalam Al-Quran, Allah kata kalau ikut cara hidup kebanyakkan manusia atas muka bumi ini, nescaya kau akan disesatkan dari jalan Allah.

“Aku juga ada pegangan daripada hadis sohih…tinggalkan apa yang meragukanmu dan ambillah apa yang tidak meragukanmu,” katanya.

Malah, Suhaimi turut memberitahu jika dia rela mati daripada membiarkan agama Allah dihina dan diperbodohkan oleh musuh Islam.

Tambah suami kepada Ina Naim itu lagi, dia juga berharap agar Allah membuka seluruh hati manusia khususnya para mufti dan ulama untuk melihat kebenaran dengan mata pandangan Allah.

“Tak perlu hasut dan memaksa. Apa pun dalil dan hujah manusia, kalau kita ragu…tinggalkan itu lebih baik. Lidah boleh menipu, tapi hati takkan pernah berbohong.

“Aku 99 peratus setuju dengan Ahmad Albob, Islam adalah agama Allah. Allah tak perlukan manusia atau sesiapa pun untuk menjaga agama Dia.

“Kalau semua orang dalam dunia ini sihat dengan vaksin, itu akan menambah atau mengurangi apa-apa pun di sisi Allah.

“Jaga agama lebih utama bagi aku berbanding vaksin…dah berapa banyak vaksin yang mereka buat tak menyumbuhkan pun malah makin banyak pula penyakit baharu,” luahnya.

Selain bertegas untuk tidak menerima sebarang suntikan vaksin tambahan, Suhaimi dan keluarganya juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan daripada pihak hospital mahupun klinik.

Anak-anak Suhaimi juga tidak dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pelajaran aliran perdana seperti rakan sebaya diluar sana. Malah, mereka diajar secara ‘home schooling’ yang mana Suhaimi dan Ina berperanan sebagai guru di rumah.