Gemersik suara azan

Dari Penulis

Itulah gemersik suara azan. Azan merupakan lafaz-lafaz yang dialunkan bagi menyeru umat Islam mengerjakan solat. Dalam sehari kita akan mendengar alunan gemersik azan berkumandang sebanyak lima kali, menandakan masuknya waktu solat. Maka sudah menjadi kewajipan umat Islam, untuk memberi respons pada lafaz ini, dengan bersegera menunaikan solat.

Baginda s.a.w bersabda,

“Apabila tiba waktu sembahyang, hendaklah salah seorang di antara kamu melakukan azan, dan yang lebih tua dari kamu menjadi imam.” HR Bukhari & Muslim

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad (yang dituntut) ketika ingin mendirikan solat. Mereka yang bertugas melaungkan azan digelar muazzin ataupun Bilal. Hanya lelaki Muslim yang berakal sahaja berhak melaungkan azan, manakala wanita, mereka hanya dibenarkan melaungkan iqamat supaya tidak menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Azan adalah lafaz yang dilaungkan bagi menunjukkan masuk waktu solat dan mengajak manusia mendirikan sembahyang.

Azan dilaungkan sebanyak dua kali pada waktu subuh. Laungan yang pertama adalah sebelum masuk waktu subuh, bagi mengejutkan dan memberitahu Muslimin bahawa waktu subuh hampir masuk.

Untuk laungan yang pertama ini, lafaznya seperti biasa, manakala laungan yang kedua, hendaklah ditambah dengan lafaz “As Solaatu khairum Minan Naum” sebanyak dua kali selepas lafaz “haiya a’lal Falah.”

Sejarah azan

Menurut Ibnu Umar r.a. pada ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru untuk menunaikannya.

Maka pada suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan, bagaimana kaedah yang terbaik untuk memberitahu akan masuknya waktu solat, serta mengajak orang ramai datang ke masjid mendirikan solat berjemaah.

Dari perbincangan itu, terdapat beberapa usul yang dicadangkan oleh para sahabat antaranya, ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau trompet, dan ada juga yang mencadangkan untuk membunyikan loceng.

Ke semua usul tersebut ditolak dengan baik oleh Baginda s.a.w. kerana ia dilihat tidak praktikal, dan seakan mengikut agama lain. Akhirnya Umar r.a memberi cadangan dengan cara,  diteriakkan atau dilaungkan ucapan telah masuknya waktu solat.

Cadangan ini diterima baik oleh Baginda s.a.w. dengan menukar lafaz itu kepada lafaz “assolatu jami’ah” yang membawa erti, marilah mendirikan solat berjemaah.

Pada suatu malam, Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik, untuk memberitahu masuknya waktu solat, sebagaimana yang telah dibincangkan oleh Baginda, dan para sahabat sebelum ini. Pada keesokan harinya, Abdullah bin Zaid telah pergi menemui Baginda s.a.w. bagi mengesahkan mimpi yang dialaminya.

Benar sekali mimpi mu wahai sahabat ku Abdullah,” jelas Baginda s.a.w. kepada Abdullah bin Zaid. Kemudian Baginda s.a.w. mengarahkan Bilal bin Rabbah mengumandangkan lafaz tersebut.

Tatkala Bilal ingin menyerukan azan, datang pula Umar r.a. bertemu Rasulullah dan bercerita tentang mimpi yang dialaminya, sama sebagaimana yang dialami oleh Abdullah bin Zaid. Maka dari mimpi itulah, lafaznya kita gunakan sehingga kini. (HR Bukhari Muslim)

Syarat melaungkan azan

Bagi seseorang yang ingin melaungkan azan, beberapa syarat perlu dipatuhi antaranya:

1- Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Arab, sama sepertimana kita mengerjakan solat.

2- Mestilah dilakukan oleh seorang sahaja, yang merupakan lelaki Muslim dan berakal, di mukimnya

3- Hendaklah menggunakan suara yang kuat dan nyaring, biarpun hanya didengari oleh seorang sahaja.

Sunat melaungkan azan

1- Berada dalam keadaan suci dari hadas besar atau kecil.

2- Berdiri menghadap kiblat, kecuali uzur maka boleh duduk.

3- Dilaungkan di tempat yang tinggi, kecuali adanya pembesar suara.

4- Memasukkan anak jarinya ke dalam kedua telinganya, bertujuan untuk meninggikan suara.

5- Apabila sampai pada lafaz “hayya a’las solah” maka muazzin hendaklah menghadapkan muka, dan dadanya ke sebelah kanan. Manakala ketika lafaz “hayya a’lal falah” pula, muazzin perlu menghadapkan muka dan dada ke sebelah kiri.

Saat mendengar azan

1- Orang yang mendengar azan hendaklah diam, dan mengulangi lafaz azan tersebut.

2- Berdoa dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. selepas azan.

3- Tidak boleh mendirikan solat ketika azan berkumandang

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This