Menangis adalah suatu perkara yang lumrah. Hidup ini penuh warna-warnai, ada duka dan suka. Tanpa hadirnya derita, hidup ini jadi tidak bererti, hanya telah melalui pelbagai ujian menjadikan jiwa kuat. Malah menangis bukan milik orang perempuan dan mereka yang lemah sahaja.
Rasulullah s.a.w. pun sering menangis ketika bermunajat kepada Allah. Begitu juga dengan Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sikap tegas dan keras, di dalam solatnya pun sering menangis walaupun ketika sedang mengimamkan solat berjemaah. Tangisan itu lantaran rasa takutnya kepada Allah.
Ceritanya, sirah pengalaman hidup Rasulullah juga banyak merakamkan air mata seorang nabi yang tumpah kerana kesedihan. Di dalam satu kisah di mana Rasulullah, apabila anaknya bersama Mariyah Al-Qibtiyah, iaitu Ibrahim meninggal dunia. Rasulullah menangis kerana rasa sangat sedih. Ketika meninggal Ibrahim hanya berusia enam bulan.
Sedangkan nabi pun menangis, apa lagi Mariyah Al-Qibtiyah berganda-ganda kesedihannya. Pertama kerana dia adalah seorang hamba yang dihadiahkan oleh Raja Mesir lalu dikahwini oleh Rasulullah. Kehadiran Mariyah juga menimbulkan rasa cemburu di kalangan isteri nabi yang lain.
Yang kedua kesedihannya juga kerana masyarakat sekeliling sering melemparkan tohmahan kepada Rasulullah sebagai lelaki yang tidak subur. Walaupun beristeri ramai tetapi tidak ada zuriat.
Disebabkan itulah Rasulullah dan Mariyah sentiasa berdoa agar dikurniakan zuriat. Akhirnya Allah kurniakan zuriat dan ia dapat menolak dakwaan masyarakat sekeliling yang mengatakan Rasulullah tidak subur.
Lebih-lebih lagi ia memberi kebahagiaan kepada Mariyah Al-Qibtiyah tetapi Allah hanya beri pinjam sekejap saja. Rasulullah tidak dapat menahan air mata apabila Ibrahim meninggal dunia.
Kisah kelahiran Ibrahim itu disebut di dalam hadis, dari Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. pernah berkata,
“…Air mata boleh mengalir, hati boleh sedih tetapi kita tidak boleh berkata-kata kecuali yang diredai Allah. Demi Allah, wahai Ibrahim kami sungguh sedih kerana mu!”
Sesungguhnya banyak peristiwa yang menyebabkan air mata Rasulullah gugur. Terutamanya ketika Khadijah meninggal dunia. Rasulullah juga selalu menangis ketika solat waktu malam seperti hadis yang riwayatkan oleh Abdullah Ibn Ash-Shikhkheer,
“Aku datang ketika Rasulullah sedang solat. Baginda menangis tersedu-sedu hingga suaranya kedengaran seperti air mendidih.” – HR Abu Daud & al-Tirmizi
Sambungnya lagi, Rasulullah juga tidak pernah marah apabila ada para sahabat yang menangis. Misalnya ketika anaknya, Rukiyah meninggal dunia. Fatimah menangis. Apabila Rasulullah melihat Fatimah menangis maka Baginda pun mengesat air mata anakandanya itu. Ia disebutkan hadis,

“Maka nabi pun menyapu air mata Fatimah dengan bajunya disebabkan merasa kasihan kepada Fatimah.”
Di situ jelas, bahawa nabi adalah seorang yang penyayang walaupun Fatimah sudah mempunyai suami namun Baginda masih lagi mengesat air mata anaknya. Ia membawa maksud di dalam Islam, menangis bukan satu kesalahan dan tidak berdosa jika kita hendak menangis. Cuma, jangan melampau dan keterlaluan hingga meratap serta meronta-ronta.
Tawa Baginda s.a.w.
Kemudian pada keadaan yang lain pula, Rasulullah pernah ketawa hingga menampakkan gusinya. Namun ketawa Rasulullah tidak mengeluarkan bunyi. Sewaktu sedang duduk-duduk bersama sahabat Rasulullah tersenyum sendiri. Tiba-tiba sahabat bertanya tetapi sebelum sempat sahabat bertanya Rasulullah sudah berkata, “Jangan tanya kenapa aku ketawa?”
Apabila Rasulullah berkata begitu, lagilah sahabat meronta-ronta mahu bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu ketawa, ya Rasulullah?” Lalu Rasulullah menjawab,“Sangat pelik dan ajaib tentang perkara orang beriman ini. Semua benda yang dibuat, padanya ada kebaikan. Jika dia dapat yang dia suka, dia bersyukur kepada Allah.

“Jika dia bersyukur kepada Allah maka Allah beri dia kebaikan. Dan, jika ditimpa sesuatu yang dia tidak sukai atau musibah maka dia bersabar. Dia juga dapat kebaikan. Dan tidak ada seorang pun dalam dunia jika melakukan sesuatu melainkan dia mendapat kebaikan melainkan ia adalah orang beriman.”
Jabir r.a. pernah melaporkan bahawa kaki Rasulullah s.a.w. adalah kurus dan ketawanya adalah tidak lebih daripada senyuman. “Apabila daku menemuinya daku selalu fikirkan bahawa Baginda telah memakai celak di matanya tetapi sebenarnya baginda tidak memakainya.” – HR Tirmizi
Itulah serba sedikit kisah suka dan duka Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat. Walaupun Baginda ketawa kerana sesuatu perkara yang melucukan namun tawa Baginda bukanlah berdekah-dekah tetapi tetap berhemah. Semoga kita dapat mengikuti sunnah-sunnah Baginda s.a.w.
_____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

