Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 1.75 peratus.
Keputusan itu adalah buat kali keempat OPR dikekalkan selepas bank pusat itu bertindak menurunkannya kepada 1.75 peratus pada Julai tahun lalu iaitu kadar terendah sejak 2004.
Menurut BNM dalam kenyataan, penunjuk terkini bagi Malaysia menyaksikan permintaan luaran bertambah baik dan perbelanjaan pengguna juga berterusan.
Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, BNM memberitahu, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua tahun 2020.
Bank pusat berkata, pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkatkan mulai suku kedua dan seterusnya dengan keadaan itu didorong pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam serta swasta berikutan sokongan berterusan daripada langkah-langkah dasar dan pembendungan yang lebih bersasar.
“Pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu dalam sektor pengilangan khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta subsektor berkaitan sumber, loji pengeluaran minyak dan gas.
“Program pemberian vaksin Covid-19 dalam negara juga akan meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi.
“Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah dengan keadaan ini berpunca terutama daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan pandmeik serta cabaran yang boleh menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Dividen KWSP 2020 tidak jauh berbeza dengan 2019?
Mengulas mengenai kedudukan keseluruhan, BNM memberitahu, pemulihan ekonomi global didapati semakin rancak meskipun tidak sekata telah disokong peningkatan stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.
Program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di banyak negara pula kata BNM, bersama-sama sokongan dasar akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja.
Bank pusat menjelaskan, purata inflasi keseluruhan tahun ini juga diunjurkan lebih tinggi terutama oleh harga minyak yang meningkat.
“Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2020.
“Hal ini disebabkan oleh asas lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negara yang rendah pada suku sama tahun lalu sebelum menjadi sederhana,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

