INI bukan keputusan individu tetapi keputusan lebih 100 bahagian UMNO, tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu merujuk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) menolak kerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, keputusan MT dalam mesyuarat di Janda Baik baru-baru ini tidak dipengaruhi mana-mana individu.

Sebaliknya kata beliau, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan PPBM dan ia bukannya keputusan perseorangan.

“UMNO satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. UMNO tidak lagi bersama-sama PPBM semasa pilihan raya nanti.

“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian, jadi tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Mohamad ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Beliau mengulas kenyataan bekas setiausaha agung BN Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO kekal dengan pendirian bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan MN, susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasakannya.

Baca artikel berkaitan: Annuar bidas Zahid, isi kenyataan media hampir dengan Anwar

Poligami politik? Harapan disandar pada Pas

Sementara itu Rafiei berkata, PAS berpegang pada prinsip memperkukuh MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan mengambil sikap sebagai pengantara sekali gus membentuk kerjasama dalam kalangan Melayu Islam.

“Kami di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang diputuskan PAS Pusat, dalam mesyuarat tadi, kami bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanakan program bersama Umno di peringkat negeri, bahagian dan kawasan,” katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, UMNO diharap terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan meneliti semula keputusan parti berkenaan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM.

Menurut Ahli MPT Bersatu itu, PN sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin stabil dan kukuh bagi meneruskan usahanya membantu rakyat dikala pandemik COVID-19.

Azmin Ali ketika melawat Balai Polis Hulu Klang hari ini.

“Kita berharap pimpinan tertentu dalam UMNO dapat ambil sikap untuk teliti semula keputusan itu. PN ini dibentuk dengan cita-cita yang cukup murni, perpaduan itu amat penting, pemeliharaan terhadap perlembagaan dan undang-undang itu perlu dijunjung, kita mahu kestabilan dalam negara ini dipelihara.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab, yang akan menyebabkan ketidakstabilan terhadap kerajaan kerana ia akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Hulu Klang hari ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram