Rumah Bangsa: KJ, Mustapa, Hishammuddin antara 21,858 ahli baharu, pemimpin kembali ke UMNO

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi antara 21,858 ahli baharu yang menyertai atau kembali semula kepada UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa.

Pengesahan itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Selain dua tokoh tersebut, UMNO turut menerima semula kehadiran bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini digantung keahlian sejak 2023 turut kembali ke dalam parti berkenaan.

Menurut Asyraf Wajdi, UMNO telah merekodkan kemasukan 21,858 ahli baharu termasuk bekas ahli dan pemimpin yang meninggalkan parti itu sebelum ini.

Beliau berkata, angka itu dicatat sejak parti melaksana inisiatif Rumah Bangsa pada Februari, selain pendaftaran dalam talian yang dibuka sejak 20 April lalu.

“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan Bersatu seluruh Malaysia berjumlah 21,858 orang.

“Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Inisiatif Rumah Bangsa dilaksana UMNO bagi memberi peluang kepada semua bekas ahli dan pemimpinnya yang pernah keluar, dipecat dan digantung keahliannya supaya kembali ke perjuangan UMNO.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu menyeru parti yang lahir daripada perpecahan UMNO supaya kembali bersatu di bawah payung perjuangan asal demi masa depan orang Melayu dan kestabilan politik negara.

Beliau berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu kembali bersama perjuangan parti itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Abdul Hadi hadir rasmikan Konvensyen RESET esok

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bakal hadir bagi merasmikan Konvensyen RESET Malaysia yang akan diadakan di Tanah...

More Articles Like This